utama

Tak malu uji bakat

Oleh Sudirman Mohd Tahir

NAMA pelakon Adriana Adnan mula mencuri perhatian apabila muncul dalam drama Suri Hati Mr Pilot pada 2016. Ketika itu dia juga bergelar wartawan penyiaran dan hos program HLive.

Namun, disebabkan tuntutan kerja hakiki, Adriana, 27, memperlahankan kerjaya lakonan. Dan sepanjang tempoh itu, Adriana akui banyak mendapat tawaran berlakon.

Pada 2020, Adriana mengambil keputusan untuk kembali aktif berlakon selepas komitmen kerja melakukan penstrukturan tugasan.

Terbaharu, dia muncul dalam drama bersiri Seribu Nina yang ditayangkan di saluran penstriman Viu.

Adriana berkata, dari awal pembabitan dalam bidang lakonan, dia tidak malu untuk menghadiri sesi uji bakat.

"Kenapa pergi uji bakat? Saya sudah biasa lalui, jadi tidak mengapa. Saya okay saja pergi uji bakat untuk projek baharu. Macam lakonan pertama saya, Suri Hati Mr Pilot, Michael Ang yang 'casting' saya. Sama juga dengan drama Seribu Nina ini. Saya pergi saja. Tapi, sebab pandemik, saya buat uji bakat dengan menghantar video rakaman. Alhamdulillah, saya diterima.

"Pada awalnya watak lain, tapi apabila saya ke tempat mereka untuk sesi 'fitting' baju, tiba-tiba penerbit dan pengarah cakap nak tak jadi watak Nina. Saya pun uji bakat sekali lagi dan mereka hantar pada Viu. Malam itu juga saya diberitahu dapat watak ini. Saya terkejut dan dalam masa sama bersyukur," katanya.

Biarpun terlebih dulu dia sudah dikenali di kaca TV sebagai pengacara, bagi Adriana itu bukan tiket untuknya tidak perlu melalui proses uji bakat.

"Kalau ada pelakon lain tak nak pergi uji bakat sebab berasakan mereka sudah ada nama, sebenarnya mungkin bukan berlagak, tapi cuak atau takut. Mungkin mereka fikir macam mana kalau mereka pergi, tapi tak diterima.

"Tapi, bagi saya uji bakat adalah peluang untuk orang produksi nampak kita. Mana tahu satu daripada pasukan itu nampak tak kena dengan watak ditawarkan, tapi orang lain berkenan untuk projek lain, itu juga rezeki. Dalam masa sama, ia pintu untuk dapat projek menarik. Sebab setiap cerita ada watak yang berbeza-beza.

"Macam berlakon dalam Seribu Nina, saya seperti sudah buat semua watak. Sebab saya kena buat lapan watak berbeza. Sebelum tak ada lagi dengar orang cakap tak pandai berlakon, tapi mereka anggap saya wajah Hlive. Jadi, apabila muncul dalam Seribu Nina, saya boleh katakan ia projek balas dendam selepas rehat lama. Harapnya dengan projek ini orang boleh nampak saya, boleh jadi heroin, boleh bawa banyak watak dan boleh buat macam-macam," katanya.

Suami sokong

Walaupun sudah berkahwin, Adriana bersyukur apabila suami, Harez Hazim Azrin memberikan sokongan penuh dan tidak pernah merungut atas kesibukannya sebagai pelakon.

"Suami okay saya berlakon sepenuh masa. Dia sangat menyokong. Saya sampai pernah cakap nak ke Hollywood satu masa nanti dan ajak dia ikut sekali. Dia kata okay. Bila saya sibuk, dia tak marah pun sebab dia pun sama. Dia pun bekerja dalam tempoh panjang.

"Kadang hujung minggu pun kena kerja. Kadang saya balik dulu, dia balik lambat. Jadi, adil untuk kami. Asal saja ada saja masa untuk keluarga. Kami akan tanya hari apa lapang dan kami pergi jumpa keluarga," katanya.

Dalam masa sama, Adriana menangkis dakwaan segelintir pihak yang menyangka rumah tangganya bermasalah hanya disebabkan jarang berkongsi foto bersama suami di media sosial.

Menurutnya, suami kurang gemar bergambar malah dia sendiri lebih selesa menggunakan Instagram sebagai medium perkongsian mengenai kerja seni berbanding memaparkan cerita peribadi.

"Suami saya bukan jenis 'social media person'. Dia tak peduli pun apa-apa pasal tunjuk atau kongsi gambar kat Instagram dan sebagainya. Ada pun okey, tiada pun tak mengapa. Sebab itu saya pun kadang-kadang saja kongsi foto berdua.

"Secara asasnya saya memanfaatkan medium maya ini untuk bagi fokus perkembangan kerjaya serta aktiviti bersama kawan. Tidak mengapa kita tak tunjuk sangat kebahagiaan sebab 'evil eye' ada di mana-mana.

"Lagipun apa yang dipaparkan di media sosial biasanya kita apa yang orang nak tengok. Paling penting kehidupan berumah tangga di belakang (lensa) lebih gembira dan bahagia, itu lebih utama," katanya.

Mendirikan rumah tangga pada 31 Ogos 2019, Adriana menganggap belum ada rezeki dikurniakan cahaya mata.

"Dari mula kahwin tak pernah merancang soal anak. Kalau ada, ada. Allah bagi rezeki dalam pelbagai cara. Walaupun tak diberikan rezeki anak lagi, tapi Dia bagi rezeki lain dulu. Saya terima saja.

"Lagi pula macam sekarang, saya dan suami sibuk. Kalau ada anak sekarang, takut tak dapat berikan perhatian. Saya pun doa pada Allah, berikan saya anak waktu yang sesuai supaya dapat berikan sepenuhnya pada anak," katanya.

Disiarkan pada: May 30, 2022 @ 6:00am
d