utama

Mahal bukan masalah

Oleh Muhammad Saufi Hassan

Mahal namun tetap dicari

Kuala Lumpur: Ejen nikah sempadan kini menjadi buruan pasangan 'terdesak' walaupun kos untuk berkahwin di negara jiran dikatakan meningkat 25 hingga 35 peratus bagi setiap pasangan.

Sebelum ini, kos pernikahan membabitkan bayaran kepada 'orang tengah' atau ejen pernikahan ini di antara RM4,000 hingga RM5,000, namun kini sudah mencecah RM7,000.

Khidmat orang tengah atau lebih mesra dipanggil pemudah cara kepada prosedur pernikahan sempadan menjadi jalan terakhir, khususnya kepada pasangan yang bermasalah terutamanya membabitkan kes poligami.

Walaupun hakikatnya, kos perjalanan ke negara jiran khususnya Thailand hanya memerlukan bayaran premium insurans antara RM150 hingga RM250, namun peluang itu digunakan oleh segelintir ejen untuk menaikkan caj perkhidmatan mereka.

Seorang ejen nikah sempadan yang mahu dikenali Imran, 50, mengakui bahawa proses kemasukan ke Thailand memerlukan bayaran insurans sekitar RM150 hingga RM250 seorang selepas pasca pandemik Covid-19.

Menurutnya, semakin ramai pasangan yang mendapatkan khidmat individu sepertinya selepas sempadan negara dibuka.

Katanya, ia berlaku berkemungkinan kerana sebelum ini, sempadan negara ditutup menyebabkan ramai yang tidak dapat 'beristeri' baru dan hanya memendam rasa.

Pada masa sama, menurutnya, sebelum pandemik Covid-19, dia hanya mengambil caj pemudah cara sekitar RM4,000 hingga RM4,500 untuk setiap pasangan.

"Caj itu termasuk penginapan, pendaftaran nikah dan segala kos sepanjang perjalanan di sempadan.

"Kos pengurusan ini termasuk penginapan dua hari satu malam, pengangkutan dan makan sepanjang berada di sana (Thailand).

"Kalau ikutkan kadar ini memang rendah, orang lain ada yang ambil RM5,000 hingga RM7,000. Tapi, saya tidak sampai hati ingin mengambil kos banyak sebegitu memandangkan saya bukanlah ejen, hanya pemudah cara saja," katanya.

Imran berkata, kebanyakan pasangan yang datang mendapatkan khidmatnya adalah mereka yang bermasalah seperti tidak direstui keluarga dan paling ramai adalah kes poligami secara senyap-senyap tanpa pengetahuan isteri pertama.

"Untuk yuran perkahwinan di pejabat agama, ia sekitar RM650. Itupun bergantung kepada kadar tukaran wang semasa manakala kos pendaftaran di konsulat sekitar RM120.

"Pengalaman saya sepanjang lebih enam tahun dalam bidang ini, kebanyakan pasangan mahu berpoligami namun takut untuk melakukannya mengikut prosedur di negara ini dan kerana itu, mereka memilih alternatif berkahwin di negara jiran tanpa memerlukan tandatangan persetujuan isteri pertama," katanya.

Kata Imran, setiap nikah sempadan ini akan dilakukan di Pejabat Agama Wilayah Songkhla (Thailand) dan itu adalah satu-satunya tempat untuk melaksanakan urusan pernikahan.

Pada masa sama, pasangan juga perlu mengemukakan laporan pernikahan di Pejabat Konsulat Malaysia sebaik selepas bernikah.

"Prosedur pernikahan di pejabat agama negara jiran tidak mudah seperti yang disangka. Setiap pasangan perlu mengemukakan pasport, sijil perceraian jika sudah bercerai dan kad pengenalan.

"Ada kes di mana wanita menipu status sebagai anak dara sedangkan ibu tunggal. Jadi, akan timbul masalah untuk melakukan pendaftaran perkahwinan di pejabat konsulat selain jika mahu mendaftar di mana-mana Jabatan Agama Islam Negeri (Jain) kerana mereka turut menggunakan sistem yang sama untuk semakan," katanya.

'Isteri tak izin kahwin lain'

Kuala Lumpur: "Saya hanya mahu menghalalkan hubungan dengan pasangan. Ini saja jalan yang ada kerana isteri pertama tidak akan mengizinkan saya berkahwin lain.

"Bagi mengelak saya melakukan maksiat dengan kekasih (kini isteri), lebih baik saya ambil jalan untuk menghalalkan hubungan ini dengan bernikah di sempadan."

Lelaki itu yang mahu dikenali sebagai Ashman, 36, mengakui pernikahan sempadan itu adalah jalan terakhirnya memandangkan pernah cuba meminta izin daripada isteri pertama.

Katanya, kos yang dikenakan sekitar RM7,000 dan ejen menguruskan segala kos berkaitan perjalanan, tempat tinggal termasuk pendaftaran di pejabat konsulat.

"Kalau kita cakap tentang kos, ia memang agak tinggi berbanding sebelum Covid-19.

"Ada kawan saya yang turut bernikah di sempadan sebelum pandemik Covid-19 dan dia hanya dikenakan caj sekitar RM4,500 saja.

"Soal kos, saya tidak berapa kisah sangat, saya sanggup membayar asalkan jumlah itu relevan dan logik serta pernikahan itu dapat dilaksanakan dengan baik," katanya.

Menurut Ashman lagi, dia terpaksa bernikah di luar negara kerana tidak mendapat keizinan daripada isteri pertama walaupun sudah berusaha untuk mengikut saluran yang betul sebelum ini.

"Percubaan saya meminta izin isteri pertama sekitar 2019 berakhir dengan pergaduhan besar sehingga isteri balik ke rumah orang tuanya (keluarga mentua).

"Saya takkan ceraikan dia (isteri pertama) kerana saya sayangkan dia serta anak-anak, pada masa sama, saya ingin mendirikan rumah tangga dengan isteri kedua.

"Dia (isteri pertama) tidak boleh menerima kenyataan bahawa saya ingin berkahwin sedangkan saya mampu daripada aspek material serta batin," katanya.

Ashman kemudian mendapatkan khidmat pemudah cara pernikahan di sempadan menerusi seorang rakannya yang juga kenalan kepada ejen berkenaan sebelum dapat bernikah dengan isteri barunya kira-kira tiga minggu lalu.

Di samping itu, menurutnya, prosedur pernikahan di sempadan tidak terlalu rumit namun masih memerlukan dokumen asli daripada kedua-dua pasangan.

"Kini, saya sedang berusaha untuk mendaftarkan pernikahan dan berdasarkan maklum balas dengan jabatan agama, ia perlu melalui prosedur membabitkan mahkamah syariah.

"Saya harap proses ini dapat berjalan dengan lancar dan pendaftaran pernikahan dapat dilakukan secepat mungkin," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Perlu daftar semula nikah luar negara

Kuala Lumpur: Bagi pernikahan dilaksanakan di luar negara tanpa kebenaran, ia perlu didaftarkan semula dan keputusan berkenaan hanya dapat diperoleh daripada Mahkamah Syariah.

Pengarah Jabatan Agama Wilayah Persekutuan (Jawi) Datuk Mohd Ajib Ismail berkata, sebarang tindakan untuk memilih jalan pintas bagi urusan pernikahan dengan tidak mengikut saluran yang betul adalah sesuatu yang menyalahi undang-undang.

Beliau berkata, kesalahan ini boleh disiasat mengikut Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984 (Akta 303) seperti Seksyen 19 (Kebenaran Sebelum Akad Nikah), Seksyen 123 (Poligami Tanpa Kebenaran), Seksyen 39 (Akad Nikah perkahwinan yang tidak dibenarkan), Seksyen 40 (Kesalahan yang berhubung dengan akad nikah perkahwinan), Seksyen 38 (Akuan Palsu) dan Seksyen 133 (Percubaan dan Subahat).

"Bagi pernikahan yang dilaksanakan di luar negara tanpa kebenaran yang kemudiannya hendak didaftarkan semula di Wilayah Persekutuan, pihak Mahkamah Syariah yang akan menghakimi perkahwinan sama ada boleh didaftarkan atau sebaliknya.

"Jawi hanya mendaftarkan perkahwinan selepas pihak mahkamah membuat penghakiman. Proses mendaftarkan perkahwinan ini juga perlu mematuhi tatacara yang diperakukan," katanya.

Menurut beliau, pihak ini perlu melalui proses permohonan Perintah Pengesahan dan Pendaftaran Perkahwinan (Permohonan 4P) yang ditetapkan sejak 2017.

Mohd Ajib turut menasihati supaya urusan pernikahan dilaksanakan mengikut saluran betul dengan mematuhi prosedur dan undang-undang ditetapkan.

"Perkahwinan yang dilaksanakan tidak mengikut undang-undang akan menyusahkan banyak pihak. Kesannya bukan sahaja terhadap individu itu malah ahli keluarga serta masyarakat.

"Jawi akan terus memastikan setiap undang-undang dan peraturan yang dikuatkuasakan dapat dipatuhi dengan sebaiknya," katanya.

Pernikahan di sisi agama sah jika cukup syarat

Kuala Lumpur: "Di sisi agama, suatu pernikahan adalah sah jika cukup syarat yang ditetapkan termasuk persetujuan wali.

"Jika wali tiada atau berada di tempat yang jauh melebihi dua marhalah iaitu kira-kira 90 kilometer (km), maka hendaklah berwalikan wali hakim yang mewakili pihak pemerintah."

Itu maklum balas Mufti Pulau Pinang Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor berhubung pernikahan di sempadan walaupun sah di sisi agama jika sudah memenuhi syarat namun ia tidak menepati prosedur perundangan syariah tempatan.

"Amalan sedia ada di Pulau Pinang, jika pasangan yang bernikah di sempadan ini, mereka perlu mengemukakan dokumen lengkap yang disahkan oleh konsulat. Jika lengkap, maka pernikahan itu diakui sah oleh Mahkamah Syariah setelah dibicarakan.

"Selepas itu, surat pengesahan nikah dikeluarkan dan pasangan berkenaan akan dikenakan denda," katanya.

Wan Salim turut menasihati pasangan yang ingin bernikah di sempadan supaya berfikir panjang dengan mempertimbangkan segala akibat hasil perkahwinan sedemikian.

Menurutnya, banyak kesukaran yang akan dihadapi oleh pasangan yang bertindak bertentangan dengan undang-undang walaupun sah daripada segi hukum agama, lebih-lebih lagi yang terpaksa dihadapi oleh isteri.

"Lazimnya akan timbul penentangan dan pemulauan oleh keluarga selama beberapa tahun, malah ada yang berlanjutan selama-lamanya.

"Ini kerana, mereka berasa diketepikan dalam perkahwinan berkenaan. Justeru, berusahalah cari jalan yang lebih selamat dengan berunding dengan kesemua ahli keluarga, terutama ibu bapa," katanya.

Disiarkan pada: June 4, 2022 @ 12:00pm
d