utama

Sekadar bukti keserasian

Oleh Najiy Jefri

CINTA lokasi bukan satu perkara asing dalam industri hiburan tanah air.

Buktinya ramai selebriti tanah air dilaporkan menyulam bahagia ketika menjalani penggambaran filem atau drama.

Terbaru, pelakon jelita Anna Jobling dikatakan sedang menjalin cinta dengan hero gandingannya, Meerqeen dalam drama berjudul Melur Untuk Firdaus yang kini sedang ditayangkan di TV3.

Bagaimanapun, Anna menafikan wujud cinta lokasi di antara mereka sebaliknya ia bukti keserasian ketika menjayakan drama terbabit.

"Tidak dinafikan memang ramai kata saya dan Meerqeen sedang bercinta. Barangkali kerana mereka melihat keserasian dan gandingan kami dalam drama ini.

"Ia membuktikan kami berjaya lakukan kerja dengan baik sehingga membuatkan penonton percaya sedangkan tak pernah wujud cinta lokasi. Ia hanyalah lakonan dalam drama," katanya.

Walaupun mengakui cinta lokasi adalah perkara normal yang biasa terjadi, Anna bagaimanapun tidak bimbang seandainya perkara itu benar-benar berlaku kepadanya.

"Terpulang kepada individu itu sebab kita akan bertemu dengan pelakon gandingan hampir setiap hari ketika proses penggambaran dijalankan dan pasti ada babak romantis yang perlu dilakukan.

"Jadi, adalah sesuatu yang normal jika tiba-tiba wujud perasaan cinta, tapi seeloknya gunakan perasaan itu ke arah yang lebih baik.

"Misalnya kita boleh gunakan perasaan itu untuk mendapatkan keserasian ketika membintangi sesuatu drama. Ia dapat membantu untuk selesakan watak yang dibawakan.

"Jujur saya katakan saya tidak bimbang dengan cinta lokasi sebab ia bergantung cara kita mengawal perasaan ketika di set penggambaran," katanya.

Terkejut nama dikenali hingga Filipina

Siapa sangka keserasian antara mereka turut memberi satu memori manis buat Anna apabila namanya menjadi tular sehingga ke luar negara seperti Indonesia, Brunei, Thailand bahkan di Filipina gara-gara drama lakonannya berjudul Melur Untuk Firdaus bersama Meerqeen.

Kata pemilik nama sebenar Anna Ellisa Gustin Jobling Abdul Rahman ini, dia tidak menyangka drama arahan Zamri Zakaria itu mendapat perhatian penonton sehingga ke luar negara sejak ditayangkan pada 27 Mei lalu.

"Alhamdulillah, saya berasa sangat gembira dan tidak sangka drama Melur Untuk Firdaus ini tular sehingga ke beberapa buah negara lain sehingga membuatkan nama saya menjadi trending di sana.

"Walaupun penonton di Filipina tidak faham bahasa Malaysia tapi tak sangka mereka mengikuti drama ini. Mungkin lakonan sweet saya dengan Meerqeen membuatkan mereka suka.

"Sebelum drama ini ditayangkan saya sangat gementar memandangkan ini drama pertama saya memegang watak sebagai heroin. Saya tertanya-tanya tentang penerimaan penonton," katanya.

Penguasaan bahasa Malaysia semakin baik

Anna juga bersyukur apabila penguasaannya dalam bahasa Malaysia semakin baik dan mendapat respons positif penonton.

Anna berkata, dia berusaha keras untuk memastikan dirinya tidak kelihatan 'pelik' ketika melontarkan dialog.

"Saya sedar kalau nak berjaya dalam bidang ini saya kena fasih bertutur bahasa Malaysia. Jadi saya ambil pelbagai inisiatif untuk memantapkan bahasa Malaysia saya supaya setiap dialog yang dilontarkan tidak kedengaran pelik.

"Alhamdulillah saya bersyukur apabila mendapat maklum balas yang baik daripada peminat yang melihat perubahan dalam lakonan saya. Insya-Allah saya akan berusaha lebih keras," katanya.

Disiarkan pada: June 10, 2022 @ 7:00am
d