utama

Guna penyodok, kertas keras tolak air di SNBJ

Oleh Firdaus Hashim

Kuala Lumpur: Ketika Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) dilabel antara venue tercantik dan termoden di rantau ini, situasi itu sebenarnya jauh meleset dengan kemudahan teknikal yang terdapat di stadium itu.

Ia selepas petugas stadium dilihat terpaksa menggunakan penyodok sampah dan kertas putih keras yang biasanya digunakan menyapu sampah sebaliknya digunakan untuk membuang air yang bertakung di atas permukaan padang di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Situasi itu sebenarnya memalukan ketika seharusnya jentera menolak air boleh digunakan seperti mana dipraktikkan oleh kebanyakan stadium di seluruh dunia.

Ini bukan situasi yang jarang berlaku di stadium ini kerana sebelum ini beberapa aksi persahabatan mahupun final Liga Malaysia pernah berdepan masalah air bertakung susulan hujan lebat yang turun sebelum aksi.

Bayangkan petugas stadium perlu menolak air menggunakan penyodok sampah yang mengambil tempoh masa agak lama berbanding jika menggunakan jentera atau mesin menolak air yang lebih pantas dan efektif.

Malaysia dijadual turun menentang Bahrain dalam aksi kedua Kumpulan E Kelayakan Piala Asia 2023 malam ini.

Begitupun hujan lebat yang turun selama sejam menyaksikan permukaan padang bertakung dan memerlukan masa untuk menunggu air surut.

Disiarkan pada: June 11, 2022 @ 8:45pm
d