utama

Dua beranak rentung [METROTV]

Oleh Abdul Rahemang Taiming

Tawau: Dua beranak rentung dalam kebakaran membabitkan lima rumah di Kampung Titingan Blok 3, dekat sini, tengah malam tadi.

Dalam kejadian 12.30 tengah malam itu, Kamisah Mapiasah, 49, dan ibunya Sadiah Jabar, 80, ditemui rentung selepas dipercayai terperangkap.

Ketua Balai Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Tawau, Julius Stephen Jr berkata, pihaknya menerima panggilan pada 12.53 tengah malam sebelum sepasukan 18 anggota bersama dua jentera dikejarkan ke lokasi.

Katanya, kebakaran membabitkan tiga rumah papan yang musnah sepenuhnya, sementara dua rumah lagi masing-masing terbakar 40 peratus dan 60 peratus.

"Selepas api dipadamkan, pemeriksaan bomba menemui dua mayat dalam keadaan rentung di tingkat bawah rumah terbabit," katanya ketika dihubungi di sini, pagi ini.

Julius berkata, mayat kedua-dua mangsa kemudian diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya.

"Punca kebakaran serta anggaran nilai kerugian masih dalam siasatan," katanya sambil menambah operasi ditamatkan sepenuhnya jam 3.08 pagi.

Disiarkan pada: June 12, 2022 @ 8:07am
d