utama

Tahniah, Harimau Malaya layak ke Piala Asia [METROTV]

Oleh Firdaus Hashim

Kuala Lumpur: Sumpahan 43 tahun akhirnya terlerai apabila skuad Harimau Malaya mengesahkan slot ke Piala Asia 2023 selepas melakar kemenangan 4-1 ke atas Bangladesh dalam aksi terakhir Kumpulan E Kelayakan Piala Asia 2023 di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam ini.

Penantian penuh menyeksakan itu ternokhtah selepas Malaysia meraih salah satu daripada lima slot naib juara terbaik, sekali gus bakal berentap bersama 23 pasukan terbaik benua ini yang difahamkan bakal berlangsung sama ada di Qatar, Korea Selatan atau Australia, pada pertengahan tahun depan.

Untuk rekod, kali terakhir skuad negara beraksi di pentas tertinggi itu adalah pada 1980 di Kuwait selepas melepasi peringkat kelayakan secara merit, meskipun 2007 pernah berentap atas tiket tuan rumah kejohanan bersama Thailand, Vietnam dan Indonesia.

Dalam aksi itu, pengendali, Kim Pan-gon membuat kejutan apabila merehatkan penjaga gol berpengalaman, Farizal Marlias dengan menurunkan Ahmad Syihan Hazmi disamping Syafiq Ahmad bermula dengan lilitan kapten sebagai penyerang untuk meletakkan Darren Lok di bangku simpanan.

Trio di bahagian serangan Arif Aiman Hanapi, Faisal Halim dan Safawi Rasid kembali digandingkan selepas tidak berada dalam kesebelasan utama ketika tewas 1-2 kepada Bahrain Sabtu lalu.

Syafiq memberi amaran awal apabila tendangannya menggegar tiang gol pada minit keenam sebelum Safawi pula melakukan sepakan gunting yang melambung tinggi lima minit kemudian.

Cubaan demi percubaan menyaksikan tuan rumah dihadiahkan sepakan penalti apabila Rimon Hossan menjatuhkan Matthew Davies dan Safawi tenang menyempurnakannya pada minit ke-16.

Ketika Malaysia hebat menyerang, pelawat yang dibimbing Javier Fernandez Penato berjaya mendiamkan seketika stadium apabila Mohammad Ibrahim menanduk masuk hasil lontaran ke dalam pada minit-31, menjadikan kedudukan 1-1.

Gol itu nyata mengejutkan kem negara yang terus memburu gol kedua dan hasilnya tujuh minit kemudian Dion Cools merembat kencang untuk gol pertamanya buat negara.

Sebelum tamatnya babak pertama, Malaysia hampir menambah gol, namun tandukan Syafiq berjaya dihalang di atas garisan oleh penjaga gol lawan, Anisur Rahman.

Malaysia yang berada di ranking 154 berbanding Bangladesh di kedudukan 188 semakin selesa apabila tandukan Syafiq di minit 47 tepat menuju ke sasaran untuk gol ketiga.

Kemasukan Darren Lok, Akhyar Rashid dan Nazmi Faiz Mansor menambah sengat di jentera depan dan hasilnya Darren menolak mudah hantaran Akhyar pada minit ke-73, menjadikan gol keduanya di pentas antarabangsa.

Tuan rumah sebenarnya mampu menambah gol, tetapi percubaan Syamer Kutty Abba dan Akhyar gagal menemui sasaran dan keputusan 4-1 kekal hingga tamat aksi.

Disiarkan pada: June 14, 2022 @ 11:01pm
d