utama

Aku dulu banduan

Oleh Nurul Hidayah Bahaudin

Kuala Lumpur: Dilimpahi pelbagai kemewahan sebelum kehilangan segala kekayaan dimiliki kerana terbabit dengan kes jenayah menyebabkan ahli perniagaan, Datuk Mohd Firdaus Mohd Daud, 34, bertekad untuk bebas daripada 'dunia gelap'.

Menceritakan pengalamannya, Mohd Firdaus berkata, dia dikenakan hukuman penjara pada 2015 atas kesalahan jenayah komersial iaitu penipuan dan penggubahan wang haram sebelum dibebaskan pada 2019.

"Sebelum ini, saya ada perniagaan yang sah. Namun apabila dipenjarakan, saya hilang semua aset dimiliki malah saya hilang keyakinan diri untuk meneruskan hidup.

"Ketika itu, setiap hari saya berdoa supaya diberi peluang kedua. Saya bersyukur apabila doa saya diperkenan Allah SWT. Ramai pegawai penjara yang mencadangkan nama saya kepada Lembaga Parol untuk keluar penjara lebih awal," katanya ketika ditemui.

Mohd Firdaus berkata, bermodalkan RM500 yang dipinjam daripada ibunya, dia menghasilkan produk aksesori kereta yang pernah menjadi produk keluarannya sebelum ini.

"Ketika keluar penjara, saya dalam keadaan sehelai sepinggang dengan semua aset disita. Saya memohon bantuan ahli keluarga bagi memulakan semula perniagaan sebelum ini yang sudah musnah angkara ketamakan saya terbabit dengan jenayah.

"Berbekalkan ilmu yang ada, saya berusaha untuk memulakan perniagaan tanpa sebarang anasir haram (jenayah) kerana saya benar-benar mahu berubah," katanya yang kini memiliki rakan perniagaan bagi mengembangkan perniagaan.

Katanya lagi, dia berdepan kesukaran untuk memulakan perniagaan apabila ramai orang memberikan pandangan negatif terhadapnya.

"Pernah satu ketika saya pergi ke sebuah hotel bagi memperkenalkan produk namun tidak dilayan. Dalam hidup saya, ada banyak halangan dilalui ketika hendak berubah menjadi individu lebih baik. Malah, ada sahaja hasutan untuk melakukan perkara jahat kerana ia lebih mudah.

"Sebelum sampai ke peringkat sekarang, saya perlu melawan nafsu dan amarah supaya niat berubah tidak tersasar walaupun ada waktunya berdepan dengan cabaran apabila mengalami kerugian besar ketika PKP (Perintah Kawalan Pergerakan)," katanya.

Mohd Firdaus yang memiliki beberapa syarikat perkhidmatan termasuk kereta sewa, hotel, tenaga kerja, pembersihan dan konsultan berkata, dia bertuah kerana ahli keluarganya menerimanya dengan hati terbuka atas kesilapan dilakukannya sebelum ini.

"Apabila kita bertekad untuk berhijrah, kita perlu mengelak daripada terjerumus semula dalam kegiatan 'gelap'. Disebabkan itu, saya mengelak daripada berjumpa rakan lama yang mungkin akan menghasut saya melakukan perkara-perkara haram.

"Pengalaman pahit ini semua menjadikan saya berusaha lebih keras untuk mencapai apa yang saya ada sekarang," katanya.

Pekerja kini jadi bos syarikat cuci

Ahli perniagaan, Datuk Mohd Firdaus Mohd Daud turut melatih bekas banduan sebagai usahawan.

Katanya, bukan sekadar melatih, malah beliau turut memberikan bantuan daripada segi modal bagi memulakan perniagaan.

"Saya sendiri adalah bekas banduan dan saya amat memahami kesukaran dialami mereka untuk bangkit semula.

"Disebabkan itu, saya mahu mereka bermula daripada 'kuli' sebelum menjadi 'bos' untuk perniagaan masing-masing," katanya.

Menurut Mohd Firdaus, ada seorang pekerjanya yang juga bekas banduan berusia 30-an berjaya membuka syarikat perkhidmatan mencuci di Johor Bahru, Johor hasil bantuan modal perniagaan diberikannya.

"Saya bangga dengan kejayaannya," katanya.

Mohd Firdaus berkata, pihaknya mengambil 267 pekerja dengan 40 peratus daripadanya membabitkan bekas banduan yang terbabit dengan kesalahan jenayah kecil dan dadah sejak 2020.

"Ada beberapa pekerja (bekas banduan) terpaksa 'dilepaskan' apabila mereka ditahan polis kerana melakukan jenayah selain masalah disiplin.

"Bagi (pekerja) bekas banduan, kami ada menyediakan asrama dan kelengkapan asas kepada mereka dengan gaji antara RM1,500 hingga RM3,500, bergantung kepada tugas seperti tukang cuci serta operator," katanya.

Mohd Firdaus berharap, melalui inisiatif penempatan pekerjaan dilakukan pihaknya, ia dapat membuka ruang kepada lebih ramai bekas banduan untuk membuktikan yang mereka juga mampu berubah menjadi lebih baik seterusnya diterima masyarakat.

"Kita tahu ada dalam kalangan bekas banduan yang dibuang keluarga tidak mempunyai hala tuju dalam hidup mereka. Disebabkan itu, saya juga memberikan mereka khidmat kaunseling untuk menjadi pendorong mereka berubah ke arah kebaikan," katanya.

Disiarkan pada: June 18, 2022 @ 12:00pm
d