utama

HM ungguli 2 hadiah utama MPI [METROTV]

Oleh Wartawan HM

Kuala Lumpur: Akhbar Harian Metro (HM) membolot dua hadiah utama Malam Wartawan Malaysia (MWM) 2022, Hadiah Kewartawanan Malaysia MPI-Petronas 2021.

Laporan lengkap oleh Amir Abd Hamid, Muhaamad Hafis Nawawi dan Azrul Affandi Sobry mengenai kerja barisan hadapan negara yang bertugas untuk pengendalian mayat termasuk dari mula menerima jenazah sehingga dikebumikan ketika pandemik Covid-19 terpilih pemenang emas kategori Laporan Berita Cemerlang.

Selain merasai sendiri kepanasan menggunakan pakaian peralatan perlindungan diri dan melihat proses bedah siasat, ramai pihak ditemu bual termasuk kakitangan bilik mayat, pakar perubatan forensik, pakar radiologi Institut Perubatan Forensik Negara (IPFN), pengurus jenazah Jabatan Agama Islam Wilayah (Jawi), petugas tanah perkuburan serta waris korban Covid-19 bagi menghasilkan berita berkualiti untuk tatapan pembaca HM.

HM juga mengekalkan penguasaan hadiah utama bagi tahun keenam berturut-turut dalam kategori Infografik Terbaik, kali ini kolaborasi mantap pereka grafik Nor Salim Mohamed Dawam dan wartawan Nor 'Asyikin Mat Hayin yang menghantar penyertaan bertajuk 'Permainan Warisan Zaman'.

Pemenang emas membawa pulang trofi, RM10,000 dan sijil.

HM turut mendapat hadiah pemenang perak berupa sijil dan wang tunai RM1,500 menerusi kategori Infografik Terbaik oleh pereka grafik Zul Fadhli Kamarrudin dan wartawan Nor 'Asyikin Mat Hayin yang menghantar penyertaan bertajuk 'Air Mata Darah di Palestin'.

HM juga memenangi gangsa dengan menerima wang tunai RM1,000 dan sijil menerusi kategori Desain Halaman Pertama Terbaik oleh Pengarang Grafik, Khairil Shahriman Maarup.

Turut memenangi gangsa, Penolong Pengarang Berita, Mohd Saipul Adli Mohamad dalam kategori Penulisan Kolum/Rencana Pengarang Cemerlang.

Skuad Khas Harian Metro dianggotai Mohd Firdaus Ibrahim, Muhammad Saufi Hassan, Yusmizal Dolah Aling, Muhaamad Hafis Nawawi, Amir Abd Hamid dan Hafidzul Hilmi Mohd Nor turut merangkul gangsa dalam kategori Kewartawanan Penyiasatan Cemerlang.

Berita Harian (BH) turut cemerlang apabila pemenang emas Kategori Hadiah Wartawan Muda A Samad Ismail - Cetak dan TV menerusi Ahmad Suhael Ahmad Adnan dengan hadiah trofi, RM5,000 dan sijil.

TV3 juga unggul mendapat emas dalam Kategori Dokumentari Video Terbaik menerusi laporan bertajuk Predator Darat yang membawa pulang trofi, RM5,000 dan sijil.

Bagi kategori Kewartawanan Foto Cemerlang, News Straits Times (NST) menerusi Aizuddin Saad memenangi perak.

Malam Wartawan Malaysia (MWM) 2022, Hadiah Kewartawanan Malaysia MPI - Petronas 2021 dihadiri terdiri pemimpin dan pengamal media.

Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif/Pengerusi MWM 2022 Datuk Dr Chamil Wariya, Pengarang Kumpulan BH Datuk Ahmad Zaini Kamaruzzaman dan Pengarang Kumpulan NST Ahmad Lokman Mansor.

Turut hadir Pengarang Eksekutif (Kandungan) HM Muhamad Safar Ahmad, Pengarang Eksekutif (Pengeluaran) HM Yusri Abdul Malek, Pengarang Berita Kanan HM Sufian Thauri Muhammed dan Pengarang Berita HM Noor Azam Ab Aziz.

Disiarkan pada: June 24, 2022 @ 11:28pm
d