utama

Hamil serentak

Oleh Agensi

Missouri: Jarang berlaku namun sebuah hospital di Amerika Syarikat bakal mengalami lonjakan kelahiran bayi selepas 14 jururawatnya mengandung hampir serentak.

Semua jururawat neonatal itu berkhidmat di unit rawatan rapi neonatal (Nicu) dan bahagian perbidanan Saint Luke's East Hospital di Kansas City.

Caitlin Hall menjadi jururawat pertama daripada kumpulan itu yang bersalin dan menyambut kelahiran anak perempuan pada 3 Jun lalu.

"Saya fikir hanya saya seorang sahaja yang berusaha untuk hamil dan ini adalah kehamilan pertama saya, jadi saya cuba merahsiakannya sehingga usia kandungan 12 minggu.

"Bagaimanapun selepas itu orang lain mula membuat pengumuman (hamil), jadi saya juga berkongsi perkara sama.

"Kemudian, setiap dua minggu, orang lain pula umumkan 'saya mengandung'," katanya kepada Fox News Digital.

Hall berkata, dia kini lebih memahami perasaan dan kesakitan ditanggung ibu hamil kerana turut mengalaminya serta dapat menenangkan pesakitnya dengan lebih baik.

Hospital itu kini menunggu kelahiran 13 lagi dengan jururawatnya dijangka bersalin pada tarikh pelbagai sehingga Disember.

"Kami tidak sabar untuk menanti detik ini seperti mana yang berlaku untuk setiap kelahiran di hospital ini," menurut kenyataan hospital berkenaan.

Seorang lagi jururawat yang hamil, Ellie Kongs berkata, dia tidak sabar dan teruja untuk berkongsi detik istimewa itu bersama rakan sepasukannya.

Doktor menjangkakan Kongs melahirkan anak pada penghujung Oktober ini.

"Kami mempunyai pandangan yang berbeza mengenai kehamilan dan sebagai jururawat yang sudah mempunyai pengalaman ini adalah detik yang sangat mengujakan," katanya.

Disiarkan pada: June 25, 2022 @ 6:30am
d