utama

'Kak..takut kak'

Oleh Siti Rohana Idris

Tumpat: "Setiap kali dia cuba pejamkan mata untuk lelap, setiap kali itulah adik akan meracau dan jika saya mengejutkannya, dia akan segera memberitahu 'kak..takut kak' seolah masih terbayang peristiwa dia ditikam suami," kata kakak kepada wanita yang parah ditetak suami di Chabang Empat di sini, Selasa lalu.

Wanita yang hanya ingin dikenali sebagai Nik, 34, itu berkata, adiknya juga ketakutan setiap kali melihat lelaki yang lalu lalang di hadapan katilnya di hospital kerana mungkin menyangkakan kelibat itu adalah suspek yang juga suaminya.

Nik berkata, adiknya yang berusia 26 tahun itu kini dirawat di wad biasa selepas dipindahkan dari Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), Kota Bharu petang semalam.

"Satu daripada dua jari tangannya putus kerana ditetak dan mungkin tidak dapat diselamatkan disebabkan sudah manakala satu lagi sempat disambung.

"Balutan di kepalanya juga sudah dibuka dan luluh hati saya melihat banyak kesan jahitan di sekeliling kepalanya malah terdapat juga beberapa kesan tikaman di bahagian belakang badannya.

"Sejak dipindahkan dari ICU semalam, tidurnya malam tadi tidak lena kerana mengadu sakit dan jika terlelap sekalipun, dia kerap meracau disebabkan trauma dengan kejadian petang Selasa lalu," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Nik yang juga seorang ibu tunggal dan memiliki dua anak yang masih kecil berkata, buat masa sekarang hanya dia yang menjaga mangsa di hospital memandangkan ibunya yang turut menjadi mangsa tikaman masih belum pulih sepenuhnya.

Dalam kejadian jam 6.35 petang Selasa lalu, suspek berusia 27 tahun bertindak menikam isteri dan ibu mentuanya, 60-an dipercayai akibat perselisihan faham.

Suspek yang bekerja sebagai pemandu lori ditahan di Lembah Sireh, Kota Bharu, Rabu lalu apabila pihak berkuasa menerima maklumat berkaitan suspek yang menyembunyikan diri di lokasi itu.

Suspek yang memiliki empat rekod lampau ditahan untuk siasatan mengikut Seksyen 448 Kanun Keseksaan (KK) dan Seksyen 326KK.

Disiarkan pada: June 25, 2022 @ 1:42pm
d