utama

Scammer cinta budak sekolah [METROTV]

Oleh Natrah Laili Abdul Aziz

Kuala Lumpur: Guna umur muda perdaya lelaki. Itu taktik terbaru digunakan gadis berusia belasan tahun untuk menjerat pasangan mereka supaya memenuhi permintaan atau berdepan tindakan undang-undang.

Dengan menyembunyikan usia sebenar, mereka akan menjalin hubungan cinta dengan lelaki kaya sebelum mengugut untuk membuat laporan polis kerana berasmara dengan remaja di bawah umur.

Mendedahkan perkara itu, Pengarah Advokasi Khidmat Guam Mahmud Jumaat berkata, pihaknya menerima lebih 10 kes dengan modus operandi sama sejak enam bulan lalu membabitkan 'permintaan' berjumlah lebih RM3 juta.

Menurutnya, gadis terbabit akan meyakinkan pasangan bahawa mereka sudah berusia lebih 21 tahun dan benar-benar jatuh cinta dengan kekasih selain sudah bersedia untuk bergelar isteri.

"Ada yang minta wang jutaan ringgit, kereta mewah serta barangan lain daripada pasangan sebaik identiti diri terbongkar.

"Khidmat Guam dimaklumkan ia seperti satu trend kerana mereka ini sepatutnya belajar di sekolah, tetapi disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan, mereka beralih kepada kerjaya scammer cinta ini.

"Daripada kes yang kita terima, mereka menyembunyikan usia sebenar dan itu menjadi senjata paling ampuh untuk mendapat apa yang dihajatkan iaitu wang mudah dan kemewahan," katanya.

Mahmud berkata, ada dalam kalangan mangsa yang sudah berhabis ratusan ribu ringgit untuk membahagiakan pasangan tanpa mengetahui dirinya sedang dijerat.

Katanya, semakan Khidmat Guam mendapati gadis terbabit turut mengugut mangsa kononnya mahu membuat laporan polis kerana kesalahan membabitkan remaja di bawah umur seperti mereka adalah serius.

"Apa yang berlaku daripada segi perundangan adalah penyalahgunaan hak sebagai individu di bawah umur selain ada juga yang memanipulasi dokumen bagi menipu umur sebenar.

"Khidmat Guam akan merujuk kes ini ke Bukit Aman bagi memberi keadilan kepada mangsa.

"Kita harap dengan pendedahan ini akan membuka mata orang ramai bahawa ada pihak sanggup melakukan apa sahaja demi wang dan jika tersalah langkah, kita juga boleh menjadi mangsa," katanya.

'Bayar RM800,000 atau bongkar skandal'

Niat seorang lelaki untuk memperisterikan gadis yang dikenali menerusi aplikasi Facebook tahun lalu terkubur apabila dia diugut supaya membayar RM800,000 atau skandalnya terbongkar.

Mangsa yang mahu dikenali sebagai Ahmad, 35, berkata, dia kini buntu memikirkan nasibnya yang berterusan diganggu gadis itu dan ahli keluarganya yang menuntut bayaran berkenaan hampir setiap hari.

Semuanya gara-gara dia menjalinkan hubungan dengan gadis yang mengaku berumur 25 tahun, namun sebaliknya baru sahaja berusia 15 tahun ketika mereka berkenalan tahun lalu.

Katanya, dia tidak berasa curiga terhadap gadis terbabit kerana menerusi raut wajahnya yang nampak dewasa cukup menyakinkan dirinya bahawa pasangannya itu berumur lebih 20 tahun seperti didakwa.

"Saya terkejut mengetahui bakal isteri saya itu sebenarnya berumur 15 tahun. Apabila ahli keluarganya membuat ugutan sedemikian, saya rasa diperguna dan dianiaya.

"Malah, ugutan yang dilemparkan itu juga tidak berasas. Ahli keluarganya meminta saya membayar sebanyak RM800,000 dalam masa tiga bulan. Saya tidak mampu untuk sediakan duit sebanyak itu," katanya yang membuat laporan kepada Pengarah Advokasi Khidmat Guam Mahmud Jumaat, baru-baru ini.

Ahmad berkata, ketika awal perkenalan, gadis terbabit sering kali mengelak dan memberi 1,001 alasan apabila diminta untuk memberitahu umurnya yang sebenar.

"Dia memberitahu kad pengenalannya hilang dan masih belum membuat laporan polis.

"Disebabkan saya risau dengan keselamatannya, saya menawarkan bantuan untuk menemaninya membuat laporan polis tetapi dia mengelak kerana katanya mahu membuat laporan sendiri," katanya kepada Harian Metro, baru-baru ini.

Tidak lama kemudian, menurut lelaki itu, gadis terbabit menunjukkan laporan polis yang dibuatnya.

"Ketika itu apabila saya lihat nombor kad pengenalannya, saya yakin dia berumur 25 tahun dan saya bersedia untuk bernikah dengannya kerana keluarga kami juga sudah mula kenal antara satu sama lain," katanya.

Bagaimanapun, katanya, penipuan gadis itu terdedah ketika mereka keluar untuk makan malam di sebuah restoran di ibu negara.

Menurutnya, di situ dia ternampak satu dokumen yang tertera nombor kad pengenalan gadis terbabit dan tidak sama dengan laporan polis yang dibuatnya sebelum itu.

"Selepas beberapa hari, saya bertanya kepadanya namun dia menafikan dirinya berumur 15 tahun tetapi apabila dipujuk, akhirnya dia mengaku.

"Saya terkilan dia mempergunakan niat baik saya untuk memperisterikannya. Jika dia jujur dari awal, perkara ini tidak akan terjadi," katanya.

Di samping itu, Ahmad berkata, dia percaya perkara itu sudah dirancang terlebih dulu semata-mata untuk mendapat habuan kesenangan daripada hubungan cinta sementara.

Justeru, dia berharap orang ramai mengambil iktibar daripada kejadian yang menimpa dirinya dan segera menyemak butiran pasangan mereka bagi mengelak ditipu.

Disiarkan pada: July 4, 2022 @ 12:30pm
d