utama

Mungkin menantu ada masalah di tempat kerja - Bapa mangsa

Oleh Izz Laily Hussein

Johor Bahru: Seorang bapa tidak menyangka hubungan baik anak dan menantunya sejak berkahwin tahun lalu, berakhir dengan tragedi menyayat hati.

Rosman Ahmad, 58, berkata, dia terkejut ketika melihat anak perempuan dan cucunya berlumuran darah dan tidak bernyawa dipercayai dikelar di leher menantunya sendiri di Kampung Bakar Batu di sini, tengah hari tadi.

"Sejak berkahwin, pasangan itu hidup bahagia. Anak saya dan menantu memang anak yang baik. Mereka tiada masalah. Saya tidak pernah dengar mereka bergaduh.

"Cuma akhir-akhir ini, saya tahu menantu saya tiada pekerjaan tetap selepas berhenti kerja beberapa bulan lalu. Mungkin dia ada masalah tempat kerja.

"Dulu dia ada buat kerja pembersihan di stadium, lepas itu dia berhenti kerja. Kemudian saya dapat tahu dia hanya kerja sambilan mencuci kapal di Pasir Gudang dan bantu kerja penyediaan makanan," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian di sini, hari ini.

Rosman berkata, dia menerima panggilan telefon daripada anak sulungnya yang memaklumkan terdapat masalah di rumah anak ketiganya berusia 26 tahun sebelum dia bergegas ke lokasi kejadian.

"Bila saya sampai, anak pertama dan kedua sudah ada di sini (rumah keluarga suspek), saya lihat anak perempuan saya terbaring depan pintu rumah dengan luka di leher macam dikelar.

"Cucu lelaki saya, juga terdapat luka di leher, ketika itu ada jururawat sedang mengendongnya. Tetapi, saya difahamkan cucu saya ditemui di sisi ibunya," katanya yang memaklumkan menantunya bukan seorang yang panas baran.

Mangsa dan anak tunggalnya berusia kira-kira dua bulan, ditemukan meninggal dunia, dipercayai dikelar suaminya berusia 25 tahun.

Lelaki itu kemudian dilaporkan melarikan diri sejurus kejadian itu dengan menaiki motosikal dalam keadaan berbogel.

Beberapa video dan gambar memaparkan seorang lelaki iaitu suspek dalam kejadian kelar isteri dan anak itu kemudian tular di media sosial.

Menurut Rosman, anak dan menantunya itu dijadualkan bersanding 24 Julai ini memandangkan tidak dapat berbuat demikian selepas bernikah pada tahun lalu kerana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Malah, katanya, persiapan untuk majlis bersanding itu juga sudah siap dan hanya menunggu hari bahagia itu.

Isteri Rosman, Norazlina Hamdan, 50, berkata mereka sekeluarga reda dengan apa yang sudah berlaku kerana menganggap menantunya juga anak yang baik

"Anak saya kalau ada masalah banyak cerita dengan adik-beradik dia sahaja, tetapi tidak ada pula dia mengadu ada masalah kewangan.

"Jadi saya tidak sangka perkara ini boleh berlaku kerana sudah kenal menantu lama dan mereka baik," katanya pasrah.

Jenazah kedua-dua mangsa kini berada di Jabatan Forensik Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini dan akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Bakar Batu di sini, esok.

Disiarkan pada: July 4, 2022 @ 6:39pm
d