utama

'Saya tidak berdendam dengan menantu, besan' [METROTV]

Oleh Izz Laily Hussein

Johor Bahru: "Sejak semalam, dia (bapa suspek) jumpa saya dan berkali-kali minta maaf.

"Saya maafkan saja sebab bukannya kita boleh menghakimi sesuatu benda yang kita tidak tahu," kata Rosman Ahmad, 58.

Rosman adalah bapa kepada Hajar Nursyahirin, 26, yang mati dibunuh bersama cucu lelakinya, Hans Mohd Thakif, berusia kira-kira dua bulan, semalam.

Dalam kejadian tengah hari semalam, suspek mengelar isteri dan anak lelakinya itu hingga meninggal dunia di Kampung Bakar Batu, di sini,

Menurut Rosman, selepas insiden itu berlaku, besannya berkali-kali memohon maaf berikutan kejadian yang sudah berlaku itu.

Bagaimanapun, katanya, dia tidak menyimpan dendam dan sudah memaafkan suspek serta keluarganya.

Menurutnya, dia juga sempat bertanya kepada besannya jika suspek mempunyai masalah yang tidak diketahui.

Bagaimanapun, katanya, bapa suspek mengesahkan lelaki itu tidak mempunyai masalah, membuatkan dia yakin menantunya itu mungkin mengalami gangguan.

"Saya ada tanya apa masalah peribadi anak dia, dia (besan) kata memang tidak ada. Tetapi, saya dapat tahu dia berhenti kerja sebelum ini sebab dapat projek cuci kapal di Desaru.

"Kita orang dah berumur ini fikir, mungkin kawasan itu 'keras', jadi mungkin apa yang berlaku pada dia dan apa yang dia buat pada anak saya, bagi saya bukan dia, mungkin juga gangguan," katanya.

Pada masa sama, Rosman berharap orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi atau andaian terhadap suspek memandangkan dia dan keluarga amat mengenali menantu lelakinya itu.

"Itu hak mereka (orang ramai) nak bercakap, tetapi kita lebih tahu menantu kita. Memang daripada apa orang ramai cakap itu beri kesan kepada keluarga terutamanya besan saya.

"Cuma saya harap orang ramai jangan buat andaian dan spekulasi yang bukan-bukan. Saya yang mentuanya pun tidak fikir begitu sebab saya kenal dia baik," katanya.

Rosman berkata, majlis persandingan suspek dan arwah yang tertangguh sebelum ini serta majlis aqiqah bayi cucunya sepatutnya dijadualkan 24 Julai depan.

Katanya, majlis pernikahan anak keduanya yang sepatutnya berlangsung sehari sebelum itu pula akan diteruskan dan mereka akan diadakan majlis tahlil pada hari itu.

"Selepas apa yang berlaku, majlis (perkahwinan) pada 23 Julai kita teruskan cuma tiada acara lain, hanya nikah sahaja dan kita akan buat majlis tahlil sekali," katanya.

Jenazah dua beranak itu akan dikebumikan dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Islam Kampung Bakar Batu di sini, di jadualkan petang ini.

Disiarkan pada: July 5, 2022 @ 4:10pm
d