utama

Arwah isteri mahu namakan bayi Muhammad Aidan

Oleh Noorazura Abdul Rahman

Baling: "Isteri pernah beritahu nak namakan anak lelaki dikandungnya dengan nama Muhammad Aidan yang bermaksud anak lelaki penuh semangat, berakhlak dan tegas. Namun Allah lebih menyayangi mereka berdua," kata Khairul Asyraf Nor Azman, 24.

Dengan nada sebak, Khairul Asyraf berkata dia reda dengan pemergian isteri Nurul Anis Abu Hassan, 23, dan anaknya dalam kejadian bencana banjir dan kepala air di Lata Celak, Kampung Iboi semalam dan menganggap ia adalah takdir Ilahi.

Katanya, isterinya, Nurul Anis Abu Hassan, 23, sangat teruja dengan kandungan pertama berkenaan dan tidak sabar menantikan kelahiran bayi mereka.

"Sebelum ini ada buat imbasan namun tidak diketahui jantinanya, hari ini, saya sempat tatap wajah anak, memang seiras saya.

"Isteri saya seorang yang baik dan patuh dengan kata-kata saya, dia tidak bekerja dan meminta kebenaran untuk menjaga ibu saya, Salmah Mat Akib, 53, yang terlantar kerana lumpuh memandangkan saya bekerja di Pulau Pinang," katanya ketika ditemui selepas selesai urusan pengebumian di Tanah Perkuburan Islam Surau Al-Istiqamah di Kampung Charuk Bemban Dalam di sini pada awal pagi ini.

Dalam kejadian banjir dan kepala air di Lata Celak, Kampung Iboi petang kelmarin, Muhammad Khairul Asyraf turut kehilangan ibu serta adik lelakinya, Khairul Ikhwan Nor Azman, 14.

Mayat Nurul Anis dan ibu mentuanya yang lumpuh itu ditemukan dalam keadaan berpelukan di bawah timbunan pokok kira-kira 100 meter dari tapak rumah mereka yang dihanyutkan itu, 9.30 pagi semalam.

Mangsa ketiga, Khairul Ikhwan pula ditemukan pada 11.55 pagi semalam di bawah timbunan pokok yang tidak jauh dari mayat ibu dan kakak iparnya ditemukan.

Katanya, arwah isterinya sebelum ini kerap menasihati agar dia menjaga diri dan membaca doa setiap kali keluar dari rumah.

"Sebelum ini dia juga kerap pesan kepada saya supaya berhati-hati ketika menunggang motosikal, isteri saya sangat mengambil berat tentang saya dan keluarga saya termasuk menjaga makan minum mereka," katanya.

Sementara itu, Abdul Rahman Said,71, berkata, isterinya Salmah yang lumpuh sempat menunjukkan kaki kanannya yang boleh diangkat semula.

"Sebelum ini disebabkan lumpuh kira-kira lebih setahun lalu, kaki sebelah kanan memang langsung tidak boleh digerakkan.

"Tetapi tengah hari pada hari kejadian, sebelum saya keluar dia panggil dan tunjuk kaki sudah boleh angkat semula," katanya.

Abdul Rahman berkata, itu adalah kenangan paling manis yang ditinggalkan oleh arwah isterinya sebelum pergi buat selama-lamanya.

Menceritakan kembali tragedi terbabit, Abdul Rahman berkata, dia keluar sekejap untuk berjumpa rakannya, ketika dalam perjalanan pulang ke rumah, dia mendapat panggilan daripada menantunya bahawa air banjir mula naik.

"Anak saya di Pulau Pinang juga menelefon untuk memberitahu yang air sudah masuk ke dalam rumah mereka...manakala seorang lagi menantu memaklumkan air telah masuk ke dalam rumah.

"Saya tak sangka air naik begitu cepat kerana sebelum ini, kalau banjir berlaku air tidak naik sampai ke rumah mereka," katanya.

Katanya, rumah yang didiami sejak 18 tahun lalu dihanyutkan kepala air sekelip mata.

"Jalan raya agak sesak ketika itu, banyak kenderaan, menyebabkan saya lambat pulang...kalau saya sampai awal, mungkin saya juga dihanyutkan sekali.

"Waktu saya sampai di jambatan, saya lihat kayu balak sudah penuh di atas jambatan air banyak dan rumah saya sudah hilang," katanya.

Menurutnya, ada saudara yang mahu membantu memindahkan isterinya namun ditolak isterinya kerana menyangka air tidak akan masuk ke dalam rumah mereka.

Disiarkan pada: July 6, 2022 @ 1:17pm
d