utama

Empat maut, nahas tujuh kenderaan

Oleh Balqis Jazimah Zahari

Ipoh: Empat maut dalam kemalangan membabitkan tujuh kenderaan di Kilometer (KM) 277.1 Lebuhraya Utara-Selatan arah Selatan, petang ini.

Empat mangsa iaitu seorang lelaki dan tiga wanita disahkan maut di lokasi kejadian oleh petugas kesihatan.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, pihak Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Meru Raya menerima panggilan kecemasan memaklumkan kejadian pada 3.02 petang sebelum anggota bergegas ke lokasi kejadian.

"Setibanya jentera di lokasi didapati kemalangan membabitkan tujuh kenderaan iaitu sebuah lori treler dan enam kereta sedan.

"Keempat-empat mangsa tersepit di dalam kenderaan dan anggota menggunakan peralatan khas untuk mengeluarkan mangsa.

"Kesemua mangsa disahkan maut oleh petugas kesihatan," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Katanya, mangsa diserahkan kepada pihak polis dan keseluruhan operasi tamat pada jam 4.16 petang.

Disiarkan pada: July 13, 2022 @ 6:06pm
d