utama

Ikut kehendak watak

Oleh Norhayati Nordin

Pembabitan bakat baharu dikenali sebagai Trisha Ooi, 22, dalam industri seni sebenarnya sudah lama sejak usia belasan tahun sebagai pelakon lagak ngeri wanita untuk filem tempatan sekitar 2016.

Namun, sesungguhnya kurniaan rezeki itu tiada siapa yang tahu kecuali Allah SWT. Pada 2020, Trisha atau nama sebenarnya Reyshqa Aqiera Mohd Nasron Ooi mula mendapat perhatian daripada penerbit drama.

Menyedari yang dia juga minat berlakon, Trisha enggan melepaskan peluang walaupun usahanya untuk melebarkan bakat tidak berjalan lancar berikutan penularan Covid-19.

Bersua dengannya pada sesi fotografi baru-baru ini, Trisha mengakui dia kini teruja dengan maklum balas diterima untuk drama Risik Pada Hati lakonannya yang disiarkan slot Akasia TV3, jam 7 malam sebagai watak antagonis.

"Lebih mencabar lagi, watak antagonis sebagai Erra yang saya lakonkan adalah perampas suami orang. Semestinya, ia watak yang tidak disukai ramai dan dikecam penonton terutama netizen di media sosial.

"Apa pun, saya tak kisah dengan semua kecaman netizen dan mungkin kemarahan penonton kerana ia hanya lakonan semata-mata. Ditambah, sudah menjadi tanggungjawab saya melakonkan Erra itu mengikut tuntutan wataknya.

"Saya tahu, penonton dan netizen pasti berasa sakit hati dengan Erra kerana sikapnya yang cuba ambil kesempatan di atas kekurangan wanita lain. Apatah lagi, Erra dalam diam sebenarnya sudah lama menyimpan perasaan cinta pada abang sepupunya, Adam yang dilakonkan Alif Satar," katanya.

Ditanya tidakkah dia bimbang watak antagonis dilakonkan itu akan terus 'melekat' pada dirinya, anak bongsu daripada dua beradik ini berkata, dia okey saja berlakon watak jahat.

Katanya, watak antagonis yang jahat itu mudah diingati penonton.

"Sebagai pelakon baharu, saya tak akan bersikap terlalu memilih watak. Bagi saya, paling utama mendapat tawaran berlakon dan sekiranya terus disogok dengan watak jahat, saya terima. Lagi pula, watak hitam dalam lakonan ini ada pelbagai dan tidak statik pada satu saja.

"Apa pun, realitinya saya tidak mahu terkait bercinta dengan suami orang. Bagi saya, cukup sekadar lakonan yang membuatkan orang benci. Minta Allah lindungi saya dan jauhkan daripada menjadi 'perampas'," katanya.

Menurut Trisha, dia sendiri tidak rela 'merampas', sekali gus menjalani kehidupan bermadu. Apa pun, jelasnya yang pasti dia juga tidak mahu bercakap besar dan jalan terbaik adalah banyakkan doa kepada Allah memohon perlindungan.

"Sejujurnya saya tak nafikan ada berasa bimbang juga akan terjerat kata-kata yang memakan diri. Apatah lagi, pada kalangan saudara-mara saya pun ada yang berkahwin dengan lelaki kaya dan suami orang sebagai isteri kedua. Jadi, siapa yang tak risau?

"Namun, dalam hal ini juga saya kena ingat dan faham yang semua ini bergantung kepada jodoh dan takdir hidup kita. Jika ia (takdir) sudah ditentukan, apa yang nak dibuat lagi. Namun, selagi boleh elak, kita elaklah," katanya.

Ditanya apakah dia ada pengalaman diganggu 'suami orang', Trisha berkata, dia pernah saja menerima pemberian bunga dan hadiah yang dihantar menerusi pengurusnya. Begitu juga, mendapat bermacam mesej cinta yang dikirim di media sosial.

"Macam saya kata, ia tetap bergantung pada diri kita sendiri. Kalau layan jadilah, tapi kita yang perlu pilih. Saya pun dah semakin matang dan untuk itu kena pandai buat keputusan serta fikirkan baik serta buruknya.

"Saya pun menjadi artis bukan dengan niat ingin mendekati lelaki kaya dan berpangkat sebagai jodoh. Sebenarnya saya ingin membahagiakan ibu dan keluarga dulu kerana kami tak hidup senang selepas ayah meninggal dunia beberapa tahun lalu. Kini, saya mahu ibu saya gembira," katanya.

Menerusi drama Risik Pada Hati, Trisha bergandingan bersama penghibur versatil, Ifa Raziah sebagai ibunya yang sama-sama 'jahat'. Selain Ifa, barisan pelakon lain ialah Ummi Nazeera, Zara Zya, Shiqin Kamal dan Izzue Islam.

Sehubungan itu, sehingga kini Trisha juga sudah membintangi beberapa drama iaitu Kerana Dia Suka, Rindu Darul Iman dan Bukan Teman Streotaip selain satu filem berjudul Jannah.

Disiarkan pada: July 14, 2022 @ 6:00am
d