utama

Dulu pemalu kini pelakon

Oleh Georgie Joseph

SUDAH tiga tahun berkecimpung dalam bidang lakonan, Sophia Albarakbah semakin menjadi buruan ramai penerbit.

Hakikatnya, Sophia, 29, tidak menunggu lama untuk dapat kepercayaan menjadi heroin beberapa drama. Bergandingan pula dengan nama-nama besar antaranya Datuk Aaron Aziz, Keith Foo, Shahz Jaszle dan ramai lagi.

Mengakui dirinya masih lagi bertatih, anak jati Kuala Lumpur ini tidak menyangka meraih pencapaian sekarang. Ini kerana dia sendiri seorang yang sangat pemalu sejak dulu serta 'introvert'.

"Sebelum jadi pelakon, saya belajar dalam bidang bioteknologi. Selepas itu bekerja sekejap dan kembali menyambung pengajian dalam bidang dietetik.

"Sebelum berlakon, sebab sangat pemalu saya cuma jadi model tangan saja. Ketika itu saya masih belajar, kemudian barulah ceburi bidang iklan komersial TV, model muzik video dan berlakon.

"Sangat bersyukur walaupun ramai lagi pelakon yang berbakat daripada saya, tapi belum dapat peluang jadi heroin. Tapi saya yang masih baharu, mendapatnya," katanya.

Tampak sangat selesa di kaca TV, Sophia tidak menafikan turut bergelut dengan masalah bijak menyesuaikan diri. Apatah lagi dengan populariti sekarang menuntutnya perlu berdepan ramai orang.

Dia percaya lakonan memberikan platform sangat berguna buatnya mencipta keyakinan diri. Justeru, dia mahu terus memperbaiki cara pembawaan diri seiring statusnya sebagai selebriti.

"Sasaran utama saya dalam industri adalah bukan populariti semata-mata. Saya pun jenis yang 'introvert' dan jujur ada rasa takut berdepan dengan orang.

"Perlahan-lahan saya beranikan diri untuk lebih banyak bercakap dengan orang. Sejak dulu lagi saya memang pemalu tapi sekarang, saya berusaha mengatasi perkara itu," katanya.

Semakin dikenali selepas membintangi drama Suamiku Lelaki Pendosa, Sophia juga masih bergantung pada pihak pengurusan dalam bab kerja. Tetapi, dia bersyukur masih berhak membuat kata putus sendiri bila perlu.

"Setakat ini, pihak pengurusan yang memilih tawaran untuk saya. Saya pun okey kerana tiada ilmu sangat pasal bayaran, tahap kualiti cerita, saya serahkan pada pengurusan.

"Tapi ada juga yang saya tapis. Pengurusan bagi saya baca skrip kalau okey, kalau saya kurang berkenan, saya akan cakap saja dengan mereka.

"Bagaimanapun, setakat ini belum ada yang saya tolak. Tapi kalau cerita itu buat saya kurang selesa mungkin ada adegan keterlaluan misalnya, saya akan tolak," katanya.

Sedia meneroka pelbagai watak mencabar, Sophia juga sedia melakonkan aksi yang menuntutnya bersentuhan misalnya didukung asalkan tidak keterlaluan.

"Setakat ini, tiada lagi babak keterlaluan yang saya dapat. Kalau adegan dukung, saya okey saja kerana bagi saya aksi mendukung pun banyak juga jenisnya.

"Ada dukung antara ibu bapa dengan anak, dukung kerana sakit kaki, dukung suami isteri yang manis, bukan dukung mengghairahkan. Itu sudah lain," katanya.

BELUM FIKIR BERKAHWIN, SIMPAN RAPI SISI PERIBADI

Bercakap soal jodoh, keutamaan Sophia sekarang hanya karier. Dia ingin mengukuhkan karier sebagai pelakon dan barulah berfikir mengenai perkahwinan.

"Saya pun masuk industri agak lambat dan sekarang baru nak masuk tiga tahun berlakon. Saya sebenarnya tak suka sangat kongsi hal-hal peribadi. Bukan nak menyorok, biarlah kehidupan peribadi saya simpan sebaliknya orang tahu pasal karier paling penting.

"Saya cuma akan dedahkan siapa pasangan saya andai sudah berkahwin. Pengurusan pun terbuka mengenai itu di mana mereka hormat saja apa yang saya nak kongsi atau tidak," katanya.

Sophia juga tidak nafikan berdepan kesukaran sebenarnya untuk berjumpa apatah lagi berkenalan dengan ramai lelaki. Ini kerana dia lebih suka memerap di rumah berbanding terlalu bersosial.

"Saya sebenarnya seorang yang sangat privasi dan pendiam. Saya pun bukan jenis bersosial, kalau tak bekerja, lebih suka duduk rumah atau keluar pun dengan keluarga saja.

"Saya percaya setiap orang ada masa tepat mereka, selepas ini pasti rezeki mereka pula. Sekarang ini, saya cuma akan buat yang terbaik dengan setiap peluang diberikan kepada saya.

Sophia juga menolak untuk naikkan nama dengan kontroversi. Sewaktu memutuskan ceburi bidang lakonan, hakikatnya hal itulah yang baginya ingin dia elakkan.

"Saya mahu mencipta nama pun bukan atas tiket kontroversi. Saya lebih suka tak dihentam kerana kontroversi, sebaliknya naik menerusi hal-hal yang baik.

"Bayangkan kalau terpalit perkara tak elok, kelak menyedihkan ibu bapa saya. Saya tak tergamak lihat mereka bersedih dan perlu benar-benar menjaga adab serta jaga diri sebaiknya," katanya.

Terbaru, Sophia membintangi watak utama siri Cinta Hilang Kata bersama Shahz Jaszle arahan Kyoll Hamzah. Drama 40 episod itu ditayangkan bermula 18 Julai, setiap Isnin hingga Jumaat, jam 6 petang di Astro Prima (105).

Drama adaptasi novel Cinta Hilang Kata karya Lily Haslina Nasir itu turut dibintangi Iqram Dinzly, Nelissa Nizam, Liza Abdullah, Hariz Hamdan, Azhar Sulaiman, Syazwan Zulkifly, Aida Aris, Azri Iskandar, Talha Harith, Nadia Kesuma dan Fadilah Mansur.

Disiarkan pada: July 15, 2022 @ 6:00am
d