utama

5,230 kes baharu Covid-19 tertinggi minggu Ini

Oleh BERNAMA

Kuala Lumpur: Angka kes harian baharu Covid-19 semalam (15 Julai) mencecah 5,230 yang tertinggi sepanjang tempoh seminggu ini (9 Julai - 15 Julai).

Kali terakhir angka kes lima ribu dilaporkan ialah pada 23 April 2022 iaitu sebanyak 5,624 kes.

Secara keseluruhannya, sebanyak 24,087 kes harian baharu direkod sepanjang seminggu ini berbanding 21,083 kes pada minggu sebelumnya (2 Julai - 8 Julai).

Selangor mencatat kes tertinggi sebanyak 1,877 kes diikuti Kuala Lumpur 1,584 kes.

Negeri mencatat kes tiga angka iaitu Perak (399), Sabah (261), Negeri Sembilan (236), Pulau Pinang (219), Melaka (140), Johor (107) dan WP Putrajaya (102).

Negeri lain mencatat kes dua angka iaitu Kedah (76), Pahang (70), Sarawak (68), Kelantan (48), Terengganu (23) dan WP Labuan (12). Perlis mencatat lapan (8) kes.

Dengan 5,230 kes dilaporkan semalam, kes aktif COVID-19 dalam negara meningkat kepada 41,208 kes sementara kes kumulatif sebanyak 4,613,998 kes.

Peningkatan kes sudah dijangkakan dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sebelum ini mengesahkan turut mengesan kes melibatkan sub-varian Omicron BA.5 yang mudah merebak.

Malahan Ketua Pengarah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Dr Tedros Adhanom Ghebreyesus ketika memberi taklimat media mingguan WHO di Geneva, Switzerland, Selasa lalu berkata, "gelombang baharu virus Covid-19 menunjukkan pandemik ini masih jauh untuk ditamatkan."

Menurut beliau, sub-varian Omicron, seperti BA.4 dan BA.5, terus menjadi penyebab kepada gelombang baharu, kemasukan ke hospital dan malahan kematian di seluruh dunia.

Sub-varian Omicron BA.4 dan BA.5 yang semakin menjadi dominan mula dikesan merebak di Afrika Selatan pada awal tahun 2022.

Berikut kes harian baharu Covid-19 sepanjang tempoh Rangkuman Mingguan Bernama 9 Julai hingga 15 Julai 2022:-

9 Julai (2,799), 10 Julai (3,264), 11 Julai (2,417), 12 Julai (2,345), 13 Julai (3,934), 14 Julai (4,098) dan 15 Julai (5,230).

Sementara itu, sebanyak 2,927 kes sembuh Covid-19 dilaporkan sehingga 11:59mlm 15 Julai 2022, menjadikan kes kumulatif sembuh sebanyak 4,536,946 kes.

Sebanyak lapan (8) lagi kes kematian pesakit Covid-19 dilaporkan semalam, menjadikan jumlah kes kematian sejak pandemik Covid-19 melanda negara setakat ini sebanyak 35,844.

Sepanjang tempoh Rangkuman Bernama ini, KKM melaporkan hanya satu kluster baharu iaitu Kluster Jalan Ipoh Lumut (pendidikan) pada 9 Julai, membabitkan 77 kes positif Covid-19. Kluster ini melibatkan daerah Perak Tengah, Perak.

Secara keseluruhannya, sebanyak 7,026 kluster dikesan sejak pandemik Covid-19 melanda negara ini lebih dua tahun lalu. Setakat 15 Julai, 12 kluster yang masih aktif.

Dengan sebanyak 4,613,998 kes kumulatif,Malaysia kini di tangga 25 daripada 228 negara/wilayah yang dilanda pandemik Covid-19. Di hadapan Malaysia ialah Republik Rakyat Demokratik Korea (DPRK) 4,770,400 kes dan Ukraine 5,020,181 kes.

Dalam kalangan 228 negara, mengikut data terkini Worldometer, Brazil merekod kes harian tertinggi sebanyak 107,959 diikuti oleh Itali (96,384) dan Amerika Syarikat (94,037).

Amerika Syarikat turut mencatat angka kematian akibat COVID-19 tertinggi dengan 1,048,693 kes.

Sementara itu, data COVIDNOW KKM setakat 11:59 malam 15 Julai 2022 menunjukkan sebanyak 39,703 kes (96.3 peratus) dikuarantin di rumah daripada 41,208 kes aktif yang dilaporkan.

Sebanyak 30 kes (0.1 peratus) lagi di Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 (PKRC); 1,411 kes (3.4 peratus) di hospital; 20 kes (0.0 peratus) di Unit Rawatan Rapi (ICU) tanpa memerlukan Alat Bantuan Pernafasan (ABP) sementara 44 kes (0.1 peratus) di ICU memerlukan ABP.

Untuk rekod, terdapat lima tahap jangkitan Covid-19 , iaitu

Tahap 1 - Tidak menunjukkan sebarang gejala

Tahap 2 - Bergejala ringan, tiada radang paru-paru

Tahap 3 - Bergejala, mengalami radang paru-paru

Tahap 4 - Bergejala, mengalani radang paru-paru yang memerlukan bantuan oksigen

Tahap 5 - Bergejala kritikal, memerlukan rawatan intensif di Unit Rawatan Rapi (ICU).

Disiarkan pada: July 16, 2022 @ 11:39am
d