utama

Penghantar makanan didenda RM50,000 hina Islam [METROTV]

Oleh Samadi Ahmad

Sepang: Seorang penghantar makanan didenda RM50,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas pertuduhan membuat penghantaran komunikasi menghina agama Islam di laman sosial YouTube, minggu lalu.

Hakim Ahmad Rizki Abdul Jalil menjatuhkan hukuman itu terhadap Mohd Nor'Muzil Mohd Razalli, 39, yang mengaku bersalah melakukan perbuatan itu.

Mahkamah turut memerintahkan Mohd Nor'Muzil selaku Orang Kena Saman (OKS) dikenakan hukuman penjara enam bulan jika gagal membayar denda itu.

Difahamkan OKS gagal membayar denda tersebut dan dihantar ke Penjara Kajang.

Dalam menjatuhkan hukuman, Hakim Ahmad Rizki berkata perbuatan yang dilakukan tertuduh adalah serius.

"Sebagai umat Islam, tertuduh perlu insaf atas kesalahan dan bertaubat atas apa yang dilakukan.

"Kesalahan ini serius kerana membabitkan sensitiviti agama dan menggugat keharmonian masyarakat di Malaysia serta hantaran video itu ditonton di seluruh dunia," katanya.

OKS didakwa melalui perkhidmatan aplikasi YouTube secara sedar membuat dan memulakan penghantaran komunikasi bersifat jelik dengan niat mahu menyakiti hati orang lain.

Dia didakwa melakukan perbuatan itu pada 16 Julai lalu dan ia dilihat pada hari yang sama pada jam 11.15 malam di hadapan Shell, Cyberjaya.

Oleh itu OKS didakwa mengikut Seksyen 233 (1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang membawa hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara maksimum setahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Noor Azizah Aling manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Sementara itu, Noor Azizah dalam hujahnya memohon mahkamah mengenakan hukuman setimpal terhadap OKS kerana perbuatannya itu mengundang kemarahan orang ramai dan sekiranya diabaikan boleh menggugat keamanan negara.

Katanya, hukuman serius perlu dikenakan ke atas OKS supaya tidak mengulangi perbuatan sama serta menjadi pengajaran dan menghalang pihak lain melakukan perkara sama di masa depan.

"Masyarakat mengambil serius berkenaan isu ini dan lebih 20 laporan polis diterima di seluruh negara," katanya.

Sebelum itu, OKS yang berbaju T dan berseluar denim biru tiba di mahkamah pada 9 pagi dengan tangan bergari diiringi anggota polis dari lokap balai Dang Wangi, Kuala Lumpur.

Disiarkan pada: July 21, 2022 @ 12:42pm
d