utama

Pelakon veteran didakwa ludah wanita [METROTV]

Oleh Muhammad Zulsyamini Sufian Suri

Taiping: "Jangan viral (tular), okay." Demikian amaran diberi oleh pelakon veteran yang dikenali dengan gelaran Mak Wan Latah kepada petugas media yang merakam visual beliau sejurus sebelum memasuki kamar bicara Mahkmah Majistret, di sini, hari ini.

Mak Wan Latah atau nama sebenarnya, Halimatussa'diah Mohd Daud, 61, dihadapakan ke mahkamah itu atas tuduhan berkelakuan aib iaitu meludah dengan tujuan membangkitkan kemarahan terhadap seorang wanita, bulan lalu.

Halimatussa'diah bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas pertuduhan yang dibacakan di hadapan Majistret, Nur 'Atiqah Sapari.

Berdasarkan kertas pertuduhan, wanita itu didakwa dengan sengaja meludah kepada Nurul Amalina Mohamad Kamal, 28, di Kampung Titi Kasai, Batu Kurau, di sini kira-kira 7 malam, 24 Jun lalu.

Kesalahan itu dibaca mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955 yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM100 jika sabit kesalahan.

Pendakwaan yang dikendalikan Pegawai Pendakwa daripada Ibu Pejabat Daerah (IPD) Taiping, Inspektor Khoo Thean Heng menawarkan jumlah jaminan RM5,000 terhadap tertuduh sebelum Majistret membenarkan tertuduh diikat jamin RM1,000.

Ia selepas peguam dari Yayasan Bantuan Guaman Kebngsaan (YBGK) yang mewakili tertuduh, T Selvadoray meminta mahkamah mengambil kira pendapatan tertuduh yang tidak menentu kerana bekerja sambilan selain merupakan ibu tunggal kepada empat anak.

Majistret turut menetapkan 5 September depan untuk sebutan semula kes bagi serahan dokumen dan lantikan peguam.

Disiarkan pada: July 28, 2022 @ 2:27pm
d