utama

1 maut, 1 selamat pesawat ringan terhempas di Medan Gopeng [METROTV]

Oleh Muhammad Zulsyamini Sufian Suri

Ipoh: Seorang lelaki maut, seorang lagi selamat dalam kejadian pesawat ringan terhempas di Jalan Dr Nazrin Shah, Medan Gopeng, di sini, malam ini.

Dalam kejadian itu, pesawat berkenaan terhempas berhampiran rumah pam Sungai Rokam milik Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) yang terletak bersebelahan sebuah kediaman penduduk.

Difahamkan, dua mangsa kejadian pesawat ringan terhempas itu membabitkan jurulatih penerbangan sebuah sekolah penerbangan berdekatan tempat kejadian.

Ketua Polis Perak Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, dalam kejadian 8.10 malam itu, jurulatih penerbangan Fajim Juffa Mustafa Kamal, 52, Semenyih, Selangor meninggal dunia di tempat kejadian manakala seorang lagi mangsa berusia 62 tahun cedera.

Katanya, polis tidak menolak kemungkinan pesawat Piper PA 28 bernombor pendaftaran 9M-BAA berkenaan berlepas dari sekolah penerbangan terbabit lebih awal.

"Kita percaya mereka terbang lebih awal dari sebelum kejadian itu namun belum dapat dipastikan sama ada mereka sedang menjalani latihan atau sebaliknya.

"Untuk mengatakan kejadian disebabkan faktor cuaca, keadaan cuaca ketika polis sampai di tempat kejadian adalah baik. Jadi, punca masih dalam siasatan," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, malam ini.

Mior Faridalathrash berkata, kedua-dua mangsa berkenaan berjaya dikeluarkan dari bangkai pesawat dan mereka dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini, pada 9.24 malam.

Beliau berkata, pihaknya sudah meminta pihak syarikat yang mengendalikan penerbangan dua mangsa itu supaya menghubungi waris masing-masing.

Katanya, siasatan mengenai punca sebenar kejadian diserahkan kepada Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) yang difahamkan akan memulakan siasatan pada malam ini juga.

Berita berkaitan

Pesawat ringan terhempas, 2 tersepit

Disiarkan pada: August 1, 2022 @ 10:32pm
d