utama

Jutawan bunuh isteri, tipu pampasan

Oleh Agensi

Washington: Seorang jutawan di Amerika Syarikat (AS) didapati bersalah atas pertuduhan membunuh isterinya dan melakukan penipuan untuk mendapatkan pampasan insurans susulan kematian mangsa.

Daily Star melaporkan, Lawrence 'Larry' Rudolph, 67, yang berasal dari Pennsylvania, didapati bersalah menembak isterinya, Bianca Rudolph ketika percutian safari di Zambia, enam tahun lalu.

Juri membuat keputusan selepas meneliti semua maklumat diperoleh dalam perbicaraan selama tiga minggu di mahkamah Persekutuan di Denver, AS.

Selepas kematian isterinya, Rudolph dikatakan menerima bayaran insurans hayat membabitkan jumlah di bawah 4 juta pound sterling (kira-kira RM21.7 juta).

Sedangkan, dia yang menjadi dalang kematian isterinya.

Bertahun-tahun selepas kematian isteri dan ketika keluar untuk makan malam dengan pasangan baharunya, Lori Milliron, Rudolph dilaporkan menjerit: "Saya membunuh isteri saya untuk awak!"

Menurut rekod, Bianca dibunuh di Zambia pada 11 Oktober 2016, namun Rudolph ketika itu dikatakan secara tidak sengaja tertembak isterinya di dada ketika mengemas senapang patah.

Rudolph memaklumkan tersilap apabila mengacu senjata di dalam bilik air ketika mangsa bergegas pulang ke rumah.

Milliron dilaporkan pernah menjadi pengurus pusat pergigian milik Rudolph di kawasan Pittsburgh.

Pendakwa raya berkata, Rudolph memutuskan untuk membunuh isterinya kerana mangsa mahu memainkan peranan yang lebih besar dalam hal kewangan dibuat dan mendesak supaya Milliron dipecat.

Lelaki itu bagaimanapun mendakwa tiada apa yang dapat diperoleh daripada membunuh isterinya.

Ia kerana mereka sepakat menjalin 'hubungan terbuka' sejak 2000.

Berikutan kesalahan itu, Rudolph akan berdepan hukuman maksimum penjara seumur hidup atau hukuman mati.

Disiarkan pada: August 5, 2022 @ 7:00am
d