utama

'Kejam sangat apa berlaku pada Ayah Ngah' [METROTV]

Oleh Noor Hidayah Tanzizi

Parit: "Kejam sangat apa yang berlaku pada Ayah Ngah. Kami terkejut dan sedih dengan apa yang berlaku ini," kata Shazlinda Muhd Khalil.

Shazlinda, 26, adalah anak saudara kepada Norzi Jaafar, 58, yang ditemui meninggal dunia dengan kesan libas pada leher dipercayai dibunuh di hadapan rumahnya di Kampung Merua, di sini, hari ini.

Shazlinda berkata, arwah Norzi yang dipanggil Ayah Ngah itu tinggal berseorangan di rumahnya sejak lebih 10 tahun lalu dan disifatkan seorang yang baik, rajin membantu serta lurus bendul.

"Ayah Ngah tak pernah cerita pada kami kalau dia ada masalah atau pernah diganggu orang. Dia baik dan orang kampung pun cakap begitu serta dia pun ringan tulang.

"Jadi kami tak tahu apa punca berlaku kejadian ini. (Kalau nak cakap disamun) dekat rumah ini memang tak ada apa, Ayah Ngah pun kais pagi makan pagi, kais petang makan petang kerana dia hanya berkerja kampung saja," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, hari ini.

Sementara itu, ibu Shazlinda yang juga adik kepada mangsa, Normawati Jaafar, 52, berkata, arwah abangnya tinggal sementara di rumahnya di Layang-Layang Kanan selepas keluar dari Hospital Seri Manjung, Manjung bulan lalu.

Menurutnya, abangnya itu dimasukkan ke hospital kerana penyakit asma dan jangkitan kuman pada paru-paru.

"Sejak keluar hospital Nyah Norzi tidur di rumah saya tetapi sebelah pagi dia pulang ke rumahnya dan sejak dua minggu lalu dia minta duduk terus rumahnya kerana kucingnya melahirkan anak.

"Nyah suka mengail ikan dan selalu bagi ikan kepada saya untuk dimasak. Kali terakhir saya jumpa abang dua hari lalu di pekan Parit dia pergi gunting rambut," katanya.

Sementara itu, sepupu mangsa dikenali sebagai Hisham, 53, berkata, dia pergi ke rumah mangsa untuk meminjam pam racun sebelum terkejut melihat lelaki itu kaku dan kemudiannya ke balai polis untuk memaklumkan kejadian itu.

Katanya, pada mulanya dia menyangka mangsa hanya pengsan.

"Sejak keluar hospital arwah agak pendiam tetapi dia seorang yang baik dan suka membantu serta mempunyai hubungan baik dengan penduduk, malah orang kampung juga selalu bantu dia

"Arwah juga selalu membantu mengali liang lahad kalau ada orang kampung meninggal dunia. Dia memang baik tetapi tak pernah pula dia cerita kalau ada masalah," katanya.

Mayat Norzi Jaafar, 58, ditemui dalam keadaan terlentang dengan kesan luka di leher dipercayai dilibas senjata tajam.

Mayat mangsa dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh untuk bedah siasat yang dijangka dilakukan esok.

Berita berkaitan:

Disiarkan pada: August 22, 2022 @ 4:28pm
d