utama

Rosmah mendominasi, kawal Najib - Hakim

Oleh Murni Wan Omar dan Muhaamad Hafis Nawawi

Kuala Lumpur: "Penafian Rosmah dalam pembelaan bahawa dia tidak ada campur dengan projek kerajaan kerana takut kepada Najib (Datuk Seri Najib Razak) adalah keterangan dengar cakap," kata Hakim Mohamed Zaini Mazlan dalam keputusannya.

Menurutnya, Rosmah mendakwa bahawa Najib mengingatkan beliau untuk tidak campur tangan dengan kontraktor projek kerajaan dan menjalankan tanggungjawab sebagai isteri sahaja.

"Tertuduh mengatakan dia takut akan kemarahan Najib dan tidak akan mempengaruhi suaminya termasuk memaksa atau menasihatkannya berhubung projek kerajaan.

"Semua kenyataan itu adalah dengar cakap dan tidak diterima oleh mahkamah kerana Najib tidak dipanggil untuk memberi keterangan.

"Hanya Najib yang boleh mengesahkan apa yang dikatakan tertuduh itu," katanya dalam penghakiman setebal 116 muka surat.

Mahkamah dalam keputusannya berpuas hati bahawa daripada rakaman audio dan transkrip membabitkan perbualan tertuduh dan Najib jelas menunjukkan bahawa wanita itu memberi arahan kepada suaminya berhubung urusan kerajaan.

"Dalam kenyataan saksinya, tertuduh tidak secara tegas menafikan suara dalam rakaman audio itu adalah bukan mereka berdua.

"Terdapat tiga saksi yang mengenal pasti bahawa suara rakaman itu adalah milik Najib dan tertuduh. Saya tidak meragui bahawa mereka betul.

"Tertuduh cuba mengatakan bahawa perbualan itu adalah perbincangan biasa antara suami dan isteri. Bagaimanapun, ia bukan perbualan biasa antara pasangan, kerana ia adalah mengenai hal ehwal kerajaan.

"Jelas daripada rakaman audio itu, tertuduh memberi arahan kepada Najib mengenai hal ehwal kerajaan.

"Nada suaranya memerintah dan bertentangan dengan pendapatnya bahawa dia mematuhi larangan Najib untuk tidak mencampuri urusan kerajaan.

"Dengan hormatnya saya mengatakan, ia nampak tertuduh mendominasi Najib. Dia mempunyai kawalan ke atasnya. Dia mendakwa tidak ada urusan campur tangan dalam tugas Najib atau hal ehwal kerajaan, tetapi dia melakukannya.

"Rizal bercakap benar apabila berkata tertuduh mempunyai sifat suka mengawal dan boleh mempengaruhi keputusan dalam perkhidmatan awam.

"Dia telah bekerja dengannya selama bertahun-tahun dan akan dapat menyaksikan ini secara peribadi.

"Tertuduh tidak menunjukkan bahawa beliau mudah diambil kesempatan. Dia mempunyai karakter yang tegas dan tidak gentar untuk menegur sesiapa pun.

"Berdasarkan keterangan saksi, saya rasa tidak mungkin Rizal akan mengaturkan pertemuan kedua tanpa pengetahuan dan persetujuan tertuduh," katanya.

Beliau berkata, tiada bukti menunjukkan bahawa Menteri Pendidikan ketika itu, Datuk Seri Mahdzir Khalid atau Bekas Ketua Setiausaha (KSU) Kementerian Pendidikan, Datuk Seri Alias Ahmad cuba mengaut keuntungan daripada projek solar itu.

"Banyak juga tuduhan yang dilemparkan kepada mereka semasa soal balas, khususnya Mahdzir. Dari pemerhatian saya, Mahdzir dengan tegas menafikan semua tuduhan itu.

"Dia tidak pernah menunjukkan tanda gugup dan dia tegas. Pada pendapat saya, Mahdzir cuba melakukan perkara yang betul.

"Memandangkan Pengarah Urusan Jepak Holdings Sdn Bhd Saidi Abang Samsudin adalah kawan rapat, dia boleh dengan mudah membuka laluan untuk kepentingan Jepak.

"Bukti menunjukkan Mahdzir mahu Jepak melalui proses yang sepatutnya. Dia tidak mahu memintas prosedur Kementerian. Malah dia telah pergi ke tahap cuba memujuk Najib dua kali secara peribadi.

"Kali pertama, Mahdzir cuba meyakinkan Najib untuk menggunakan tender terbuka untuk projek itu dan bukannya melalui rundingan terus dengan Jepak. Najib bertegas dan menyuruhnya melaksanakan arahannya.

"Pada kali kedua, Mahdzir menasihati Najib untuk menangguhkan pengeluaran surat anugerah kepada Jepak kerana Jepak tidak memenuhi banyak keperluan Kementerian.

"Mahdzir juga mengadu kepada Najib tentang gangguan Saidi dan rakan perniagaannya Rayyan Radzwill Abdullah serta tidak menghormatinya sebagai Menteri.

"Namun begitu, Najib sekali lagi tidak mengendahkan rayuannya dan mengarahkannya untuk mengikut arahannya.

"Sungguh menakjubkan bahawa kontrak bernilai RM1.25 bilion hanya boleh diberikan hanya dengan menulis minit tanpa melalui prosedur yang diharapkan yang akan berfungsi untuk menyemak dan mengimbangi," katanya.

Disiarkan pada: September 1, 2022 @ 6:24pm
d