utama

'Pemain kacukan minta macam-macam...'

Oleh Syazwan Msar

Kuala Lumpur: Kehadiran pemain kacukan yang beraksi di luar negara dalam kem skuad kebangsaan ternyata memberi suntikan dalam usaha memperkuatkan lagi pasukan pada penyertaan kejohanan di peringkat antarabangsa.

Jelas sekali, kehadiran pemain kacukan seperti Dion Cools, Matthiew Davies, Corbin Ong dan Darren Lok memberi impak positif sehingga skuad Harimau Malaya mampu melakar sejarah beraksi di pentas Piala Asia tahun depan.

Namun, ada beberapa perkara tidak enak didengari apabila terdapat pemain kacukan yang beraksi di luar negara ketika ini, selain Cools, mahu beraksi untuk pasukan kebangsaan, tetapi meletakkan syarat tertentu kepada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

Menurut sumber, pemain berkenaan yang mungkin diserapkan dalam skuad Bawah 23 Tahun (B-23) negara meminta sejumlah bayaran tertentu jika mahu dia beraksi bersama pasukan kebangsaan.

Malah, kata sumber terbabit, ahli keluarga pemain itu mahu FAM menanggung semua perbelanjaan termasuklah membayar yuran ejen sebelum anaknya terbang menyertai pasukan kebangsaan.

"Memang ada ramai pemain kacukan di luar negara yang mahu beraksi bersama pasukan kebangsaan terutama untuk skuad B-23, namun FAM terpaksa melupakannya kerana mereka meletakkan syarat 'tidak masuk akal'.

"Sepatutnya mereka mencontohi Cools yang sememangnya bersemangat dan sanggup berkorban demi negara tanpa meletakkan syarat pelik.

"Bayaran diminta bukanlah sikit, namun mencecah puluhan ribu untuk mewakili negara menyebabkan FAM terpaksa melupakan khidmat mereka," katanya ketika dihubungi Arena Metro.

Mengikut rekod, terdapat dua pemain kacukan yang ketika ini beraksi di luar negara pernah menyatakan minat selain turut menyertai kem latihan negara sebelum 'hilang' khabar berita.

Antaranya, pemain kacukan Malaysia-Finland, Noaa Laine yang pernah dipanggil untuk menjalani latihan pasukan negara untuk persiapan menghadapi Sukan Sea di Hanoi tahun lalu.

Noaa adalah pemain kelab Veikkausliiga Finland iaitu divisyen tertinggi piramid bola sepak Finland – Seinajoen Jalkapallokerho (SJK Seinajoki).

Seorang lagi adalah remaja berpangkalan di England, Jaami Qureshi, namun dia mendakwa tidak berpeluang mewakili negara susulan kononnya tiada usaha daripada FAM.

Disiarkan pada: September 7, 2022 @ 9:00pm
d