utama

Ibu berubah selepas berpisah [METROTV]

Oleh Siti Rohana Idris

Kota Bharu: Kelibat seorang wanita hidup seperti gelandangan dengan berbekalkan dua besen sering kelihatan di kawasan perumahan di Paya Bemban, di sini, sejak beberapa bulan lalu.

Dua besen mengandungi pakaian dan barangan peribadi berkenaan dibawa Masuri Aida Samsuddin, 45, yang dipercayai mengalami masalah kemurungan dengan menjadikan tanah lapang di sebelah kawasan perumahan itu sebagai tempat dia berteduh.

Tanpa endahkan sesiapa, Masuri Aida akan duduk memerhatikan orang ramai lalu lalang dan sesekali berbual dengan anak tunggalnya, Umie Syafiyah Mohd Noor, 18, yang akan datang menjenguknya setiap hari.

Umie Syafiyah berkata, ibunya sudah lama berpisah dengan bapanya dan faktor itu mungkin menjadi punca wanita terbabit mengalami kemurungan sebelum hidup berpindah-randah dan tidak menentu sebegitu.

"Ibu sebelum ini bekerja sebagai kerani di sebuah sekolah namun berhenti kerana masalah kesihatan dan dia juga masih ada keluarga di Pasir Mas.

"Keluarga ibu pernah membawanya tinggal bersama, tapi ibu enggan sebelum memaksa agar menghantarnya semula ke Kota Bharu dan ibu hidup tanpa ada rumah dan merata-rata.

"Sebelum ini, ibu tinggal di rumah abang angkatnya berhampiran, tapi waktu siangnya dia berada di pekarangan rumah dan hanya masuk waktu malam sahaja tanpa sesiapa mengetahui kenapa dia menjadi begitu," katanya.

Difahamkan, sepanjang beberapa bulan lalu, Masuri Aida berteduh di lokasi bersebelahan Sekolah Kebangsaan Islah dan akan membersihkan diri di masjid berhampiran manakala akan melelapkan mata di tempat menunggu bas sekolah.

Umie Syafiyah berkata, ibunya pernah dibawa berubat, tetapi sehingga kini belum menampakkan hasil menyebabkan keluarga wanita itu buntu dan tiada ikhtiar lagi selain membiarkannya seperti itu.

Menurutnya, dia menetap bersama bapanya yang kini sakit di Padang Bongor di sini, dan akan berjalan kaki hampir satu kilometer datang menjenguk ibunya setiap hari.

Katanya, kebimbangan sering bertandang setiap kali mengenangkan keadaan ibunya terutama menjelang malam, tetapi tiada apa mampu dilakukan selain berdoa agar tiada malapetaka menimpa ibunya.

"Ibu bergantung kepada ubat, tapi sudah lama berhenti. Keadaannya masih terkawal cuma adakalanya garang namun dia masih kenal saya.

"Jika sehari tidak datang berjumpanya, dia akan bertanya kerana sudah menjadi rutin harian saya sejak dahulu untuk menjenguknya.

"Saya risau keadaan ibu terutama menjelang malam dan berharap ada pihak dapat tampil membantu dengan membawanya ke mana-mana tempat perlindungan," katanya.

Disiarkan pada: September 14, 2022 @ 8:01am
d