utama

Mahu kembara solo jadi inspirasi

Oleh Redzuan Muharam

Ipoh: Biarpun berkerusi roda, Muhamad Firdaus Ibrahim buktikan dirinya mampu mengembara secara solo ke Bangkok, Thailand.

Ia sekali gus merealisasikan impiannya untuk merasai pengalaman ke luar negara sendiri dan cuba berdikari dengan pergerakan yang terbatas.

Muhamad Firdaus, 26, yang bergelar OKU fizikal sejak 10 tahun lalu selepas terbabit dalam kemalangan motosikal berkata, percutiannya itu mengambil masa lima hari bermula 16 September lalu.

Katanya, perjalanan itu tidak dirancang kerana tiket kereta api dibeli sebaik tiba di stesen manakala tempahan hotel dibuat secara terus saja sewaktu berada di Bangkok.

"Idea mengembara solo ini tercetus kerana saya mahu merasai sendiri pengalaman menaiki kereta api ke luar negara selain beri inspirasi kepada OKU dan golongan normal di luar sana.

"Jujurnya, saya bukanlah individu yang berani tetapi ada mentaliti berlainan, jika saya nak buat, saya buat.

"Saya jenis suka rancang pada saat akhir kerana biasanya itu yang menjadi. Disebabkan itu, saya tidak tempah pun tiket kereta api atau hotel, semuanya dibeli secara 'walk-in' (secara terus).

"Kiranya, di mana saya berhenti, di situ saya menginap dan perjalaan bermula dari bandar ini ke Padang Besar, Perlis kemudian Hat Yai dan destinasi dituju iaitu Bangkok," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Berkongsi pengalaman sepanjang berada di Bangkok, Muhamad Firdaus berkata, dia menerima layanan yang sangat baik daripada masyarakat di Thailand.

"Saya tidak berasa janggal ketika berada di sana kerana baik golongan muda mahupun berusia, semuanya memberi layanan yang baik kepada saya.

"Seronok rasanya malah saya boleh katakan Bangkok antara bandar mesra OKU dengan adanya Sistem Transit Bangkok Bangkok (BTS) dan Transit Aliran Massa (MRT) yang memudahkan saya bergerak satu destinasi ke destinasi lain.

"Apa yang membuatkan saya tertarik adalah tiket untuk OKU adalah percuma walaupun kita bukan orang tempatan jadi saya bebas bergerak ke mana tanpa perlu fikir tentang kos perjalanan.

"Ada masanya, saya hanya bergerak menggunakan kerusi roda sendiri untuk perjalanan singkat kira-kira satu atau dua kilometer (km) kerana laluan pejalan kaki juga boleh dikatakan baik manakala ada kakitangan yang bantu ketika menaiki pengangkutan bot," katanya yang tidak menaiki kenderaan e-hailing atau tuk tuk sepanjang berada di Bangkok.

Jika ada peluang dan kesempatan, Muhamad Firdaus mahu mengulang semula trip percutian ke Bangkok kerana belum puas meneroka ibu negara Gajah Putih itu.

"Sudah pasti saya akan ambil cuti lebih lama untuk ke sini lagi satu hari nanti. Saya mahu perkara ini (percutian solo) jadi kebiasaan kepada masyarakat dan bukan sesuatu yang janggal untuk OKU berseorangan.

"Disebabkan itu, saya ada kongsikan juga pengalaman sepanjang perjalanan di Instagram (IG) Story sebagai rujukan untuk rakan dan pengikut.

"Bagi saya, sebaiknya jangan menunggu inspirasi atau motivasi daripada orang lain sebaliknya kita sendiri kena mulakannya.

"Kepada OKU di luar sana, tidak perlu nak buktikan pada masyarakat kemampuan kita, cukup buktikan pada diri kita sendiri.

"Apabila kita berjaya buktikan pada diri sendiri, kepercayaan masyarakat akan datang," katanya yang bertugas sebagai pembantu tadbir kewangan di Jabatan Perhutanan Perak.

Disiarkan pada: September 20, 2022 @ 8:00pm
d