utama

Memori indah Raihan

Oleh Norhayati Nordin

Kumpulan Raihan yang juga pelopor nasyid kontemporari tanah air berjaya meledak hingga ke banyak negara di dunia.

Malah, mereka pernah merakam 'detik bersejarah' bersama mendiang Ratu Elizabeth II.

Bersandarkan pada perjuangan memartabatkan lagu-lagu nasyid, Raihan berjaya mengembara ke seluruh pelusuk dunia, yang mana kehadiran mereka cukup mendapat sambutan hebat dan istimewa.

Bukan sekadar menjelajah Asia, Raihan sudah 'terbang tinggi' hingga menelusuri benua Eropah, Afrika dan Amerika Utara dengan mendendangkan lagu-lagu nasyid.

Kini hanya bertiga, Raihan yang dianggotai Che Amran Idris, Abu Bakar Md Yatim dan Amran Ibrahim masih segar dengan memori indah sudah dipahat mereka bersama Ratu Elizabeth II pada 1997 dan mereka bersemuka, setahun kemudian.

Mengimbau kembali, Che Amran berkata, Raihan pada mulanya diundang mengadakan persembahan sempena Sidang Kemuncak Komanwel 1997 di Edinburgh, Scotland yang dihadiri Ratu Elizabeth II dan Putera Charles ketika itu.

"Kemudiannya, Raihan yang pada masa itu masih dianggotai Nazrey Johani dan Allahyarham Azahari Ahmad, turut diundang mengadakan persembahan sempena acara penutup Sukan Komanwel Kuala Lumpur pada 1998.

"Menariknya lagi pada 1998 itu apabila Raihan dikunjungi khas Ratu Elizabeth II ke Studio Synchrosound, Petaling Jaya sebelum acara Sukan Komanwel berlangsung," katanya.

Menurut Che Amran, ketika itu, dia juga difahamkan pihak dari Istana Buckingham yang meminta Wisma Putra untuk mengaturkan pertemuan itu sebagai menunjukkan apresiasi baginda terhadap perjuangan nasyid Raihan.

"Kami dipertemukan dalam satu majlis di Studio Synchrosund ketika Raihan mahu merakamkan semula lagu Syukur dan baginda memberi penghormatan dengan menekan butang tanda rakaman bermula.

"Baginda juga banyak bertanyakan mengenai lagu nasyid dan menzahirkan rasa kagum terhadap konsep muzik berbentuk 'acapella' dan banyak menggunakan alatan muzik perkusi. Malah, Raihan turut diingatkan bahawa nasyid sangat penting buat bangsa Melayu dan mampu menaikkan nama Malaysia di mata dunia," katanya.

Pada 8 September lalu, Ratu Elizabeth II yang memerintah Britain selama 70 tahun, mangkat pada usia 96 tahun di Istana Balmoral, Scotland selepas dilaporkan menghidap 'episodic mobility problems', sejak hujung tahun lalu.

Sementara itu, berbicara mengenai Konsert Garis Masa Raihan pada 26 November ini di Stadium Malawati Shah Alam, Abu Bakar berkata, mereka amat teruja kerana Raihan kini sudah melewati 26 tahun pembabitan dalam industri muzik tanah air.

"Kali terakhir Raihan mengadakan konsert dalam negara pada 2000. Selepas itu, kami banyak mengadakan konsert di luar negara kerana permintaan peminat dan mendapat undangan khas daripada pihak-pihak tertentu.

"Sebenarnya, bukan Raihan tidak mahu membuat konsert dalam negara, tapi sukar untuk kami mendapat penajaan daripada pihak yang berminat. Kalau ada pun yang mahu bekerjasama, syarat ditetapkan agak banyak dan kami perlu membincangkannya semula.

"Alhamdulillah untuk Konsert Garis Masa Raihan ini, kami mendapat tajaan daripada WNS Marketing & Events Sdn Bhd milik Jim Liew. Raihan tak sangka, kami akhirnya mendapat peluang ini selepas sekian lama," katanya.

Menurut Abu Bakar, Konsert Garis Masa Raihan dijangka berlangsung selama 90 minit dan pelbagai lagu popular Raihan akan dipersembahkan kepada penonton seperti Iman Mutiara, Sesungguhnya, Thank You Allah, 25 Rasul, Syukur, Bismillah, Senyum dan banyak lagi.

"Harapan saya agar konsert ini mendapat sambutan baik peminat dan harga tiket ditetapkan juga berpatutan untuk sebuah persembahan berskala besar di stadium. Kami juga mensasarkan 7,000 penonton akan hadir nanti," katanya.

Abu Bakar berkata, Raihan juga berterima kasih kepada semua peminat mereka yang setia menyokong selama ini. Ujarnya, Raihan amat percaya Konsert Garis Masa itu akan dapat mengembalikan nostalgia penonton yang membesar dengan lagu-lagu Raihan.

Disiarkan pada: September 22, 2022 @ 6:00am
d