utama

Tekong seludup Pati mati terkena tembakan ketika serang anggota PGA

Oleh Syaherah Mustafa

Pasir Mas: Seorang lelaki warga asing dipercayai tekong yang menyeludup masuk pendatang asing tanpa izin (Pati ) meninggal dunia selepas ditembak ketika cuba menyerang anggota keselamatan pada kejadian di pangkalan haram sekitar Jeram Perdah di sini, jam 1.40 pagi tadi.

Pemangku Ketua Polis Kelantan Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, ketika kejadian, anggota Batalion 9 Pasukan Gerakan Am (PGA9) terserempak sekumpulan warga asing sedang menyeberang sungai dari Thailand ke Malaysia.

Katanya, anggota berkenaan cuba menahan kumpulan terbabit sebelum suspek yang berusia 30-an tiba-tiba menyerang anggota menggunakan parang.

"Anggota terpaksa melepaskan satu das tembakan ke arah sisi kiri suspek untuk mempertahankan diri daripada serangan berkenaan. Suspek kemudiannya dibawa ke Hospital Pasir Mas (HPM) untuk rawatan.

"Suspek disahkan mati jam 2.12 pagi tadi oleh pegawai perubatan. Terdapat kesan tembakan di bahu kiri selain didapati tiada parut Bacillus Calmette-Guerin (BCG) di temui.

"Pemeriksaan di lokasi kejadian menemui lima lelaki dan dua wanita warga Myanmar. Kesemuanya tiada dokumen perjalanan diri dan dipercayai masuk ke negara ini secara haram," katanya pada kenyataan.

Muhamad Zaki berkata, hasil siasatan mendapati, suspek yang mati adalah tekong yang bertanggungjawab membawa warga asing terbabit untuk bersembunyi di suatu lokasi sebelum mereka diserah kepada pihak lain.

"Kami turut merampas sepucuk pistol Styer bersama peluru dan sebilah parang disyaki milik suspek.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan, Seksyen 39 Akta Senjata 1960, Seksyen 55 E dan 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63," katanya.

Disiarkan pada: September 22, 2022 @ 3:28pm
d