utama

Bob Lokman meninggal dunia

Oleh Ridzuan Abdul Rahman

Kuala Lumpur: Pelakon dan penulis lirik, Bob Lokman, 58, meninggal dunia pagi ini di kediamannya dekat Kubang Kerian, Kota Bharu, Kelantan.

Perkara ini disahkan oleh penyanyi Zur Eda kepada Harian Metro.

Menurutnya, anak Allahyarham iaitu Suffian menghubunginya bagi memaklumkan perkara itu.

"Suffian yang tinggal di Kuala Lumpur beritahu dia dihubungi oleh adiknya Omar memaklumkan ayahnya meninggal dunia.

"Menurut Omar, malam tadi arwah mula sesak nafas tak boleh tidur membuatkan dia dan ibunya, Relawati Daud terpaksa bersengkang mata menjaganya.

"Kira-kira jam 10 pagi keadaan Bob mulai reda dan tenang. Namun beberapa jam kemudian ketika hendak mengejutnya dia mendapati bapa sudah tidak bernafas lagi," katanya.

Difahamkan Bob atau nama sebenarnya Mohd Hakim Lokman bergantung nyawa pada jantung kombinasi bateri iaitu alat bantuan jantung, Implantable Automatic Cardioverter Defibrilator (IADC).

Terdahulu, pada 8 April lalu Bob dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) Pusat Rawatan Sultan Ahmad Shah, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (Sasmec@IIUM) di Kuantan, Pahang kerana mengalami masalah cepat penat.

Disiarkan pada: September 23, 2022 @ 3:57pm
d