utama

'Cincai' proses ayam

Oleh Mohd Jamilul Anbia Md Denin

Kuala Lumpur: Lawatan mengejut jam 1 pagi membongkar kegiatan dua pusat penyembelihan ayam 'cincai' yang beroperasi dalam keadaan jijik selain dikesan membuang sisa darah ayam ke longkang.

Jurucakap Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) berkata, kegiatan itu dibongkar hasil operasi bersepadu terhadap pusat penyembelihan ayam di sekitar kawasan Perindustrian Batu Caves di sini, kelmarin.

Menurutnya, operasi bermula jam 1 pagi itu membabitkan 21 anggota Jabatan Kesihatan dan Alam Sekitar DBKL, Jabatan Alam Sekitar Wilayah Persekutuan, Indah Water Konsortium (IWK) dan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (Span).

"Sebanyak dua premis memproses ayam diperiksa sebelum pihak kami mengesan pelbagai kesalahan dilakukan pemiliknya.

"Dalam pemeriksaan di premis pertama, pihak kami mendapati pusat penyembelihan itu tidak memiliki sistem penapisan sisa efluen. Sisa sembelihan termasuk darah ayam dialirkan terus ke dalam sistem pembentungan IWK.

"Susulan itu pihak kami memberi nasihat berhubung peruntukan undang-undang perlu dipatuhi selain mengambil sampel pelepasan air sisa oleh petugas Span," katanya.

Menurutnya, pemeriksaan di premis ke dua pula mendapati lantai dan dinding di ruang pemprosesan ayam dalam keadaan berkarat, berlumut, berdaki hitam dan kotor.

"Malah, terdapat najis tikus di ruang aktiviti memproses ayam. Pemeriksaan lanjut mendapati beberapa pengendali makanan di premis itu tidak mendapatkan suntikan tifoid dan gagal mempamerkan dokumen pengenalan kerana hampir semua pekerja adalah warga asing.

"Kesalahan sama seperti premis pertama apabila pusat penyembelihan ayam kedua ini turut tidak memiliki sistem penapisan sisa efluen.

"Sisa efluen, fizikal dan darah ayam tanpa dirawat hasil aktiviti penyembelihan ayam terus dialirkan ke longkang awam," katanya.

Tambah menjijikkan apabila pekerja meletakkan atau memproses ayam mentah di atas lantai. Malah, tandas pekerja di premis itu dalam keadaan kotor dan tiada kelengkapan asas.

"Petugas DBKL mendapati pemilik premis turut tiada sijil tauliah penyembelihan dan tiada sijil halal. Berikutan itu pemilik kilang dikenakan kompaun mengikut Undang-Undang Kecil Perniagaan dan Perindustrian Malaysia (WPKL) 2016 selain diberikan Notis Perintah Penutupan di bawah Akta Makanan 1983 membabitkan arahan pembersihan dan penambahbaikan," katanya.

Pada 13 September lalu DBKL turut menyerbu sebuah kilang penyembelihan ayam di Cheras di sini selepas didapati beroperasi dalam persekitaran kotor .

Lantai dan dinding di ruang memproses ayam berkarat, berlumut dan berdaki hitam selain semua pekerja atau pengendali makanan di premis itu tidak mendapatkan suntikan tifoid.

Disiarkan pada: September 24, 2022 @ 6:30am
d