utama

Demi kasihku untuk isteri

Oleh Noor Hidayah Tanzizi

Kuala Lumpur: "Tidak pernah sedetik pun rasa terbeban atau penat menguruskan isteri," itu kata anggota Tentera Darat Malaysia (TDM), Azril Nizam Azhar, 33, yang menjaga isterinya, Nur Assila Mat Isa, 33, yang disahkan menghidap kanser otak dengan penuh kasih sayang.

Perkongsiannya Azril mengenai kenangan dan keadaan isterinya terkini yang dikenali sebagai Cikeyla di TikTok mendapat perhatian ramai yang turut mendoakan supaya wanita itu dipermudahkan dan diberi kesembuhan segera.

Menurutnya, perkongsian itu bukan untuk menagih simpati sebaliknya ia adalah kenangan buat keluarganya dan ahli keluarga lain yang berada jauh supaya dapat melihat perkembangannya.

"Saya sering memuat naik video dan penstriman langsung di TikTok hanya untuk kenangan supaya apabila isteri sembuh nanti dia dapat melihat perjalanan yang dilalui sepanjang sakit.

"Tetapi kalau ditakdirkan jadi sebaliknya ini akan menjadi kenangan buat saya dan anak cucu kami nanti.

"Besar harapan dapat melihat Nur Assila sembuh dan menjalani kehidupan seperti biasa bersama kami," katanya.

Azril Nizam berkata, kehidupannya bersama dua anak berubah sekelip mata selepas Nur Assila disahkan menghidap penyakit itu pada 13 Januari lalu.

Menurutnya, sebelum itu isterinya mengadu sakit kepala, muntah dan dunianya seakan berpusing sebelum diminta dibawa ke Hospital Taiping dan kemudiannya diserang sawan tarik serta koma.

"Sehingga kini isteri terlantar dan masih berada dalam keadaan separuh sedar serta tiada reaksi jika dipanggil. Kadang-kadang saja dia akan buka mata tetapi pandangannya kosong.

"Sebelum ini kami tinggal Taiping kerana saya bertugas di sana dan sejak isteri sakit kami berpindah ke Sungai Petani, Kedah. Ibu saya akan membantu menjaga isteri sementara saya bertugas," katanya yang tinggal di rumah ibunya di Kampung Pantai Prai, Sungai Petani ketika dihubungi, hari ini.

Katanya, isterinya memerlukan perhatian sepenuh masa dan luka di pinggulnya perlu dicuci setiap hari selain memerlukan 12 tin susu khas sebulan.

"Isteri juga perlu ke hospital tiga hingga empat kali sebulan untuk membuat fisioterapi dan pemeriksaan rutin.

"Setakat ini isteri tak boleh menjalani kimoterapi lagi disebabkan keadaan badannya yang tidak sihat dan otak kanannya masih membengkak," kata bapa kepada seorang anak lelaki berusia sembilan tahun dan perempuan berusia lima tahun.

Azril Nizam yang kini bertugas di Kem Lapangan Terbang Sungai Petani, Kedah berkata, dia sangat berterima kasih kepada keluarga dan pihak TDM yang banyak membantu serta memberikan sokongan kepadanya.

Menurutnya, akaun TikTok itu sudah aktif sejak tahun lalu dan sejak isteri sakit, dia sudah berbincang dengan kakak ipar untuk memuat naik videonya.

Bagi yang ingin membantu boleh menghubungi Azril di talian 014-6746305.

Disiarkan pada: September 26, 2022 @ 10:32pm
d