utama

Scan belum 'terkubur'

Oleh Norhayati Nordin

Bagi penggemar muzik era 1990-an pastinya tidak asing lagi dengan nama kumpulan Scan. Apatah lagi, buat mereka yang amat meminati lagu seperti Kau Dipaksa Aku Terpaksa dan Di Sana Mawar Di Sini Penawar.

Dianggotai empat lelaki 'pencinta muzik' yang memilih kerjaya seni kerana minat dan mahu membantu ibu bapa di awal kemunculan pada 1996, Scan sempat menghasilkan dua album studio dan sebuah album kompilasi sebelum 'berehat panjang'.

Begitu pun, semangat Azzan atau nama sebenarnya Noor Hazan Rashid, 50, sebagai vokalis, Ajoi (Astely Haronarasheed Zakaria, 52, pemain gitar basis), Mus (Mustafa Kamal Ahmad, 56, gitaris) dan ApizLoko (Noor Haffizal Rashid, 49, pemain drum) terhadap karier seni tetap berkobar-kobar.

Bagi Ajoi, meskipun dia pernah 'menggantung gitar' lebih 20 tahun, namun impiannya untuk melihat Scan beraksi semula di pentas persembahan sentiasa membara. Katanya, Scan pun tak pernah 'terkubur' selama ini kerana mereka hanya sepakat untuk menyepi.

"Keberadaan Scan aktif dalam industri dulu hanya beberapa tahun dan akhirnya sepakat berehat panjang apabila berlaku kegawatan ekonomi pada 1998, termasuk masalah cetak rompak yang berleluasa ketika itu.

"Sedikit sebanyak ada perasaan kecewa di hati kami dengan situasi yang berlaku dan kehidupan perlu diteruskan. Jadi, jalan selamatnya lebih baik kami 'berehat' dan masing-masing mencari kerjaya baharu yang lebih terjamin.

"Sekalipun ketika itu, kami sedar nama Scan berada di puncak, tapi keadaan yang seakan-akan memaksa keputusan itu (berehat) dibuat. Bagaimanapun, hubungan sesama kami tetap baik dan rapat sehingga kini," katanya.

Menurut Ajoi lagi, dia bersama anggota Scan yang lain juga tidak menghalang penggunaan nama kumpulan sekiranya masing-masing bergerak solo. Jelasnya, apa yang pasti nama kumpulan dibawa itu tetap membuatkan peminat terus mengingati Scan.

Bagi Azzan pula, mereka berempat sudah merancang untuk 'menghangatkan' Scan kembali pada 2020. Namun akibat penularan Covid-19 dalam negara ketika itu, hasrat yang membara terpaksa dipendam semula.

"Namun rezeki saya menyertai Gegar Vaganza musim kelapan (GV8) tahun lalu membuatkan kami berasa ini masanya. Jadi, berkat sokongan semua rakan dalam Scan, saya teruskan perjuangan itu sebagai permulaannya.

"Alhamdulillah, kini apa yang kami hajatkan untuk Scan muncul semula tercapai dengan hadirnya lagu baharu, Pandang Pertama hasil ciptaan ApizLoko dan lirik ditulis oleh saya dan Apiz. Muzik video pun sudah ada di YouTube sejak tiga minggu lalu.

"Cuma, apa diharapkan lagi supaya lagu Pandang Pertama ini mesra radio dan diterima baik pendengar. Walaupun sekarang dah ada platform digital dan media sosial untuk promosi, tapi penyiaran lagu di radio masih penting.

"Terutama, bagi lagu baharu yang dihasilkan. Penyiaran di radio sangat membantu pemuzik seperti kami untuk lagu mendapat perhatian pendengar. Saya berharap akan ada ruang untuk lagu Pandang Pertama ini diputarkan oleh stesen radio," katanya.

Azzan berkata, Scan sendiri dengan kerjasama MVM Music sebagai pengedar akan berusaha sedaya mungkin untuk giat mempromosikan lagu Pandang Pertama. Katanya, semoga kami mendapat kerjasama semua pihak dan dipermudahkan urusan.

Mus berkata, kemunculan semula Scan di persada industri pula bukan mahu bersaing dengan penyanyi baharu. Katanya, mereka tampil sekadar mewarnai industri yang didapati begitu rancak merakamkan semula lagu lama untuk tarikan pendengar.

"Kami lihat semakin ramai penyanyi baharu yang membuat rakaman semula lagu lama popular dan ternyata karya itu 'meletop' serta mendapat perhatian ramai. Tapi, sebaiknya ia dikawal supaya tiada lambakan berlaku.

"Lagi pula, kalau semua penyanyi asyik merakam lagu lama, perkembangan karya baharu bagaimana pula apabila dalam carta lagu popular di radio masih lagu lama yang mendapat tempat. Peningkatan rating memang bagus," katanya.

Menurut Mus, bagaimanapun luahan Scan bukan cuba menghalang aktiviti rakaman semula lagu lama dibuat, tapi perlu dipantau. Apatah lagi, sekiranya penyanyi asal lagu itu masih ada dan meneruskan karier nyanyian mereka.

Disiarkan pada: September 28, 2022 @ 6:00am
d