utama

Demi selamatkan cucu! [METROTV]

Oleh Nur Izzati Mohamad

Kepala Batas: Suami isteri warga emas cedera ketika cuba mempertahankan cucu perempuannya berusia sembilan tahun daripada dilarikan bekas menantunya dalam kejadian di depan sebuah sekolah di sini, kelmarin.

Kejadian kira-kira jam 1 tengah hari itu menyebabkan lelaki berusia 64 tahun itu menerima lima jahitan di lutut manakala isterinya berusia 60 tahun itu turut cedera di muka, mulut, tangan dan lutut.

Menurut wanita yang enggan dikenali itu, kejadian sekelip mata itu berlaku ketika dia dan suami mengambil cucunya itu di sekolah sebelum didatangi bekas menantunya yang berusia 33 tahun itu.

Katanya, ketika dalam perjalanan ke kereta selepas mengambil cucu, wanita itu tiba-tiba muncul dan terus memeluk anaknya itu sebelum membawa masuk ke dalam keretanya.

"Bagi mempertahankan cucu, saya turut masuk ke dalam kereta dipandu menantu itu sebelum saya dicampak keluar dari kereta yang bergerak di sebuah restoran tidak jauh dari sekolah.

"Manakala suami memegang stereng kereta dipandu menantu itu dalam cubaan menghalangnya memecut, tetapi gagal apabila diseret beberapa meter," katanya ketika ditemui di rumahnya di sini, semalam.

Katanya, ketika berada di dalam kereta itu dia menyedari ada beberapa individu lain dan mengajak mereka berbincang termasuk ke balai polis kerana mengambil cucunya dengan cara salah dan menggunakan kekerasan.

"Bagaimanapun mereka tidak hiraukan sehingga saya dicampak keluar dan kereta itu memecut laju," katanya.

Menurutnya, dia dan suami menjaga cucunya itu sejak Oktober tahun lalu dan ia sebenarnya mendapat persetujuan daripada menantu dan bekas besannya memandangkan kes perceraian masih di mahkamah.

"Sebelum ini mereka bersetuju cucu dijaga kami sementara mahkamah memutuskan hak penjagaan demi kebaikan bersama namun pelik mengapa tidak boleh ambil secara baik.

"Bukan sahaja saya hampir kehilangan nyawa selepas dipijak dan ditendang sebelum dicampak keluar dari kereta, suami juga turut cedera apabila badannya terseret ketika menghalang kereta itu," katanya yang membuat laporan polis sejurus mendapatkan rawatan di hospital.

Katanya, susulan insiden itu, suami dituduh zalim selepas tular di media sosial hingga ada yang mendakwa mereka cuba memisahkan anak dengan ibu.

"Sedangkan apa yang diperkatakan tidak benar yang kami berharap hentikan spekulasi ini, tambahan pula kes ini dalam siasatan pihak polis," katanya.

Dalam pada itu, bapa kepada kanak-kanak berkenaan yang berusia 34 tahun memaklumkan bahawa dia tidak pernah menghalang bekas isterinya untuk berjumpa anak mereka.

"Saya masih berhubung dengan cara baik sebab memikirkan soal anak dan tidak pernah halang dia serta keluarga sebab masa keluarga saya ambil anak pun dengan cara baik yang mereka bersetuju.

"Tapi bila jadi seperti ini saya amat kesal dan pelik apa sebenarnya motif mereka sedangkan bekas isteri dan keluarganya ada datang ke rumah mak dan ayah baru-baru ini," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara Asisten Komisioner Mohd Radzi Ahmad ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan yang dibuat nenek kanak-kanak perempuan berkenaan kelmarin.

Katanya, siasatan awal mendapati insiden itu bukan berkait kes culik kanak-kanak, tetapi lebih kepada masalah keluarga.

"Apa yang berlaku ialah kanak-kanak itu diambil secara salah oleh pihak terbabit berkait perebutan antara keluarga.

"Kes ini sedang disiasat untuk tindakan selanjutnya, " katanya.

Disiarkan pada: October 1, 2022 @ 6:45am
d