utama

JDT juara Liga Super lagi!

Oleh Rizar Mohd Noor

Iskandar Puteri: Johor Darul Ta'zim (JDT) muncul juara Liga Super buat kali kesembilan berturut-turut selepas mudah membelasah Negeri Sembilan FC 5-0 pada aksi di Stadium Sultan Ibrahim, hari ini.

Pengesahan kejuaraan itu milik JDT selepas Terengganu FC berjaya menewaskan Sabah FC 2-0 pada aksi di Stadium Sultan Mizan, Gong Badak, sebentar tadi.

Kini skuad kendalian Hector Bidoglio hanya perlu menghabiskan baki empat perlawanan iaitu menentang Kedah Darul Aman FC (KDA FC) di Stadium Darul Aman, Selasa ini, diikuti aksi menentang Sri Pahang FC, di Stadium Darulmakmur Jumaat ini.

Disusuli menentang semula dengan KDA FC di Stadium Sultan Ibrahim, 11 Oktober dan aksi terakhir menentang Sabah FC di laman sendiri, 15 Oktober dan kesemua perlawanan itu penting buat JDT bagi mempertahankan rekod tanpa kalah dalam saingan liga elit domestik m

Pada perlawanan menentang skuad kendalian K Devan, skuad Harimau Selatan memulakan rentak kemenangan menerusi gol pada minit ke-35 apabi gerakan pantas Bergson yang sempat melorongkan bola kepada Velazquez bertindak pantas menolak di posisi kiri menyaksikan Arif Aiman bijak menyusup masuk ke dalam kotak penalti sebelum merembat bola kencang tepat ke penjuru kanan menewaskan Ahmad Syihan.

Selang dua minit kemudian, Negeri Sembilan FC terkedu dengan gol kedua JDT selepas Velazquez yang mengambil sepakan percuma dari jarak 25 meter melakukan sepakan lencong tepat ke penjuru kanan menewaskan Ahmad Syihan.

Memasuki babak kedua, berpunca daripada kesilapan pemain pertahanan Negeri Sembilan FC, Nasrullah Haniff Johan yang cuba mengumpan bola kepada Zulkhairi Zulkefly pada minit ke-49 menyaksikan Ariff Aiman pantas merampas bola dan hanya berdepan dengan Ahmad Syihan mudah menolak masuk untuk mencetak gol kedua peribadi bagi meletak skuad Harimau Selatan selesa dengan kedudukan 3-0.

JDT terus menambah derita skuad Hobin Jang Hobin apabila dirobek lagi oleh barisan serangan skuad Harimau Selatan pada minit ke-61 selepas gerakan yang dimulakan oleh Arif Aiman bijak memperdayakan Khair Jones sebelum menolak bola ke belakang buat Bergson yang tidak dikawal merembat bola leret menewaskan Ahmad Syihan.

Ternyata JDT enggan beri muka kepada Negeri Sembilan FC apabila terus menambah jaringan kelima pada perlawanan itu pada minit ke-88 selepas Bergson mencetak gol kedua peribadi dan mengumpul 24 gol pada saingan liga apabila menerima bola umpanan pemain gantian Mohamadou Sumareh yang melengkap kemenangan bergaya tuan rumah menewaskan pasukan pelawat 5-0 pada perlawanan itu.

Disiarkan pada: October 1, 2022 @ 11:03pm
d