utama

Gila-gila tapi baik

Oleh Sudirman Mohd Tahir

KUMPULAN Dolla boleh dikatakan satu-satunya 'group girl' yang kian mendaki puncak kejayaan.

Malah, sejak di awal kemunculan kumpulan yang dianggotai empat wanita ini belum pernah lagi gagal menarik perhatian peminat dan pencinta muzik tanah air.

Menerusi single yang dilancarkan, Dolla berjaya meyakinkan industri hiburan tanah air yang mana kemunculan mereka bukan hanya menjual rupa dan penampilan yang dipamer.

Terbukti bakat yang dimiliki mampu pergi lebih jauh sebaris dengan nama besar penyanyi tempatan sedia ada.

Sesuatu yang membanggakan buat Dolla yang dianggotai oleh Sabronzo, Tabby, Syasya dan Angel ini apabila kebanyakan karya mereka mendapat sentuhan daripada komposer hebat tanah air.

Terbaharu, Dolla muncul dengan single duet bersama Naim Daniel berjudul Mungkin Ini Adalah Lagu Yang Paling Sedih Pernah Ku Buat.

Kerjasama sulung mereka itu bukan hanya sebagai rakan duet tapi juga pemenang Anugerah Juara Lagu ke-34 (AJL34) itu bertindak selaku komposer bersama Adib Hamdi.

Menurut Sabronzo, lagu itu adalah karya yang bukan hanya mengisahkan mengenai cinta semata-mata, malah setiap individu boleh mempunyai definisi tersendiri terhadap lagu terbabit.

"Lagu ini boleh dikatakan sangat jelas dan bukan hanya berkisarkan cinta. Walaupun lirik dan melodinya kedengaran ke arah itu, tetapi sesiapa saja berhak menentukan maksud lagu ini mengikut situasi yang sedang mereka hadapi.

"Namun mesej utama lagu ini adalah mengenai muhasabah diri di mana kita mengharapkan orang lain dapat merasai dugaan atau situasi yang sedang ditanggung. Saya akui lagu ini agak beremosi dan sedih.

"Walaupun lagu ini adalah karya yang berat untuk dibawakan kerana kali pertama juga kami memberanikan diri membawa genre sebegini, tapi kami bersyukur kerana dikelilingi oleh insan hebat ketika proses rakaman dijalankan. Malah, setiap anggota kumpulan Dolla diberikan bahagian untuk dinyanyikan dan kami sama-sama membantu dalam memperkemaskan lagi lagu ini supaya menjadi hadiah yang indah buat peminat," katanya.

Bagi Tabby pula, dia dan rakan lain teruja apabila Dolla diberi peluang bekerjasama dengan Naim, apatah lagi penyanyi berbakat besar itu tidak lokek berkongsi ilmu bagi 'menghidupkan' lagu berkenaan supaya dapat menyentuh emosi pendengar.

"Naim banyak membantu dan memberikan tunjuk ajar bagi memenuhi jangkaan yang diinginkan. Sebelum rakaman bermula kami meminta Naim untuk menyanyikan bahagian tertentu yang ingin ditekankan supaya peminat dan pendengar dapat menghayati lagu ini dengan penuh emosi.

"Selain bantuan Naim, kami juga diajar oleh Cikgu Shafi terlebih dulu dalam memastikan setiap bait lirik yang disampaikan mengikut melodi lagu ini selain mengajar kami untuk lebih menjiwai ketika proses rakaman," katanya.

Sementara itu, Naim berkata, lagu yang ditulis sejak lebih setahun lalu itu diharapkan dapat diterima ramai memandangkan pendengar akan melihat sisi berbeza Dolla.

"Mungkin ini adalah lagu paling sedih pernah saya hasilkan. Lagu ini mengisahkan semangat yang hilang terhadap sesuatu perkara terutama berkaitan cinta. Karakter lagu ini juga sedih dan pemilihan tajuk juga saya pilih paling mudah dan menangkap di jiwa pendengar.

"Lagu ini sudah ditulis lebih setahun dan liriknya sangat mudah difahami setiap lapisan masyarakat. Lagu ini nak mengajak kita untuk sentiasa mengaku khilaf dan bagaimana nak meluahkan sesuatu kepada orang. Saya gunakan bahasa yang sangat mudah dan bersesuaian dengan masyarakat sekarang.

"Pada awalnya lagu ini dicipta dan sesuai dibawakan oleh penyanyi lelaki tapi dalam masa sama saya rasa ada sesuatu yang boleh ditambah bagi memberi lebih warna. Tiba-tiba saya dapat ilham sekiranya lagu ini dibawakan secara duet oleh penyanyi wanita solo atau berkumpulan," katanya.

Berkongsi lanjut, Naim berkata, pemilihan Dolla adalah tepat kerana kumpulan itu memiliki banyak kelebihan yang belum diterokai.

"Kita sering melihat Dolla sebagai sebuah kumpulan urban dengan kelincahan aksi tarian mereka, tapi kali ini kita melihat sisi berbeza Dolla dalam membawakan lagu yang penuh emosi.

"Mereka sangat 'gila-gila', baik dan energetik. Saya tiada berdepan sebarang kesukaran untuk kerjasama ini kerana sepanjang proses rakaman dan penggambaran muzik video kami bukan seperti sedang bekerja, lebih kepada berseronok dengan kerja yang dibuat.

"Alhamdulillah, lagu ini dapat disampaikan dengan baik. Saya berterima kasih kepada setiap ahli kumpulan Dolla kerana berjaya meletakkan justifikasi yang baik terhadap lagu ini. Saya harap pendengar akan menyukai dan menikmati lagu ini nanti," katanya.

Penggambaran video muzik lagu Mungkin Ini Adalah Lagu Yang Paling Sedih Pernah Ku Buat dijalankan di Pulau Indah, Klang dan proses mengambil masa kira-kira 16 jam untuk disiapkan.

Muzik video ini juga diarahkan oleh Chuan Looi yang baru saja memenangi kategori Muzik Video Terbaik pada Anugerah Industri Muzik ke-23 (AIM23) baru-baru ini.

Disiarkan pada: October 7, 2022 @ 7:00am
d