utama

Budak tidur di sangka maut

Oleh AP

Uthai Sawan, Thailand: Paweenuch Supholwong duduk di riba ibunya ketika ibunya menceritakan kisah bagaimana Paweenuch terselamat daripada tragedi tembakan di pusat jagaan yang meragut nyawa puluhan rakannya.

Kanak-kanak berusia tiga tahun itu adalah satu-satunya mangsa yang tidak diusik.

Menurut ibunya Panomplai Srithong, ketika kejadian berkenaan, Paweenuch sedang tidur nyenyak sambil berselimut dalam bilik yang turut menempatkan kanak-kanak lain.

Dia terselamat kerana suspek menyangka Paweenuch sudah mati selepas dia melepaskan tembakan di bilik berkenaan.

Terdapat seorang lagi kanak-kanak yang terselamat, bagaimanapun cedera parah dan masih dirawat di hospital.

Ketika penduduk berkumpul untuk berkongsi kesedihan di tempat kejadian dan kuil, orang ramai berpusu-pusu ke arah Paweenuch, mengikat berpuluh-puluh "tali jiwa" putih, kuning dan merah pada pergelangan tangannya dengan harapan ia akan membantu rohaninya pulih.

Mereka percaya bahawa apabila seseorang yang berdepan kejadian ngeri, mereka kehilangan sebahagian daripada jiwa mereka.

Nanticha Panchom, guru yang mengendalikan pusat jagaan itu berkata, dia berada di dapur apabila mendengar tembakan pertama dari luar.

Difahamkan, ketika itu, tembakan itu mengenai seorang lelaki dan kanak-kanak di hadapan bangunan.

Dia mendengar orang lain menjerit untuk mengunci pintu depan dan dia berlari keluar untuk mendapatkan bantuan.

"Saya tidak sangka dia akan masuk ke dalam," katanya sambil melihat ke seberang jalan masuk ke bangunan satu tingkat yang kini dihiasi dengan bunga dan penghormatan lain kepada mereka yang terbunuh.

Bagi sebuah pekan di mana orang ramai terbiasa dengan kehidupan seharian yang sederhana dan aman, serangan itu adalah satu kejutan, kata Chuanpit Geawthong, pentadbir kanan Uthai Sawan.

Disiarkan pada: October 10, 2022 @ 7:03am
d