utama

'Sebab lambat mohon tauliah'

Oleh Muhammad Saufi Hassan

Kuala Lumpur: Pembatalan program seorang pendakwah yang dikatakan keturunan Nabi Muhammad SAW adalah berasaskan kepada kelewatan permohonan dan salah faham.

Difahamkan, program yang dikatakan menampilkan keturunan ke-38 Baginda SAW, Mawla Muhammad Amin al-Idrissi yang berasal dari Maghribi itu sepatutnya berlangsung di enam negeri termasuk Pulau Pinang, Kelantan dan Kedah.

Bagaimanapun, hanya satu program dilaksanakan di Pulau Pinang manakala lima lagi negeri membatalkan kerana dipercayai kelewatan dalam permohonan tauliah.

Berdasarkan prosedur operasi standard (SOP), permohonan tauliah itu perlu dikemukakan sebulan sebelum majlis dilaksanakan.

Dalam satu laporan, Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) tidak membenarkan penganjuran majlis dihadiri pendakwah berkenaan kerana penceramah tidak mempunyai pentauliahan daripada Jais.

Perkara itu turut dinyatakan Pengerusi Nur Al-Mustafa Malaysia, Hakim al-Mustafa yang menjelaskan wujud salah faham mengenai perkara berkenaan.

Nur Al-Mustafa Malaysia selaku penganjur program jelajah berkenaan menerima keputusan pembatalan berkenaan dengan terbuka.

Hakim berkata, program di Pulau Pinang dilaksanakan hasil kerjasama erat antara Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP) dan agensi berkaitan untuk melancarkan perjalanan program.

"Untuk program di Pulau Pinang, kami mengemukakan permohonan seminggu sebelum tarikh majlis, namun, Alhamdulillah pihak Jabatan Mufti Pulau Pinang sangat membantu dan proaktif.

"Sebelum kebenaran diberikan, jabatan agama Islam negeri memanggil kami selaku penganjur, wakil mufti, wakil Universiti Sains Malaysia (USM) selaku tempat majlis diadakan dan wakil polis.

"Selepas meneliti semua dokumen dikemukakan, semua agensi berkenaan berpuas hati dan memberi kebenaran menganjurkan program itu," katanya.

Menurutnya, pihaknya mengakui kesilapan penganjur kerana lewat mengemukakan permohonan, namun ia berlaku kerana jadual padat dan hanya mengetahui saat akhir berhubung kelapangan masa tetamu jemputan.

"Dalam isu ini, berlaku banyak salah faham, namun saya selaku penganjur terbuka dalam hal ini, semoga ada hikmah terhadap apa berlaku.

"Berhubung pengiktirafan nasab keturunan, Mawla Muhammad Amin mempunyai perakuan nasab daripada Kementerian Dalam Negeri Maghribi dan pengakuan nasab ini kesalahan berat di negara berkenaan.

"Kita mempunyai bukti dan dokumen sangat jelas berhubung butiran nasab keturunan, cuma wujud segelintir masyarakat kita yang bersangka-sangka dalam isu ini," katanya.

Disiarkan pada: October 10, 2022 @ 8:01am
d