utama

Doa terakhir kakak

Oleh Hassan Omar

Masjid Tanah: "Allahyarhamah Suhaidzra sering menziarahi dan berdoa di pusara adiknya, Allahyarham Mohd Hairi tetapi saya tidak sangka, doa yang dibacanya semalam adalah yang terakhir sebelum rebah di atas pusara arwah adiknya.

"Sekarang kami sekeluarga pula yang mendoakan kesejahteraan roh arwah Suhaidzra yang dikebumikan berhampiran pusara adiknya lewat petang semalam," kata bapa arwah Suhaidzra, Abu Zahar Jani, 75.

Dalam kejadian 10.45 pagi semalam, Suhaidzra, 46, dikatakan rebah secara tiba-tiba di tepi kubur arwah adiknya di Tanah Perkuburan Islam Lubok China, di sini, sebelum disahkan meninggal dunia akibat masalah komplikasi jantung.

Abu Zahar berkata, arwah Suhaidzra yang masih belum berumah tangga menghuni rumah kakaknya, Suhaida, 49, di Taman Harmonium Indah, Seremban 2, Negeri Sembilan kerana bekerja di sebuah firma guaman di bandar berkenaan.

Katanya, arwah pulang seminggu sekali di kediamannya di Taman Setia Jaya, Lubok Cina dekat sini dan setiap kali pulang, arwah pasti menziarahi pusara adiknya Mohd Hairi yang meninggal dunia pada 4 November 2021 pada usia 35 tahun.

Katanya, arwah menghubungi ibunya, Patmiah Md Sani, 72, pada Jumaat lalu dan memaklumkan dia akan pulang pagi semalam.

"Arwah tidak terus pulang ke rumah, sebaliknya singgah di Tanah Perkuburan Islam Lubok Cina menziarahi pusara adiknya untuk membaca surah Yassin dan mendoakan kesejahteraan roh arwah adiknya kerana mereka memang rapat semasa hayat masih ada," katanya ketika ditemui di kediamannya di Taman Setia Jaya, hari ini.

Bagaimanapun, ketika membaca doa, arwah tiba-tiba rebah di atas pusara adiknya dan kejadian itu dilihat seorang penduduk kampung yang hanya dikenali sebagai Baba yang kebetulan menziarahi pusara anggota keluarganya.

Dia berkata, Baba segera mendapatkan arwah untuk membantunya sebelum menghubungi anggota Bomba Sukarela Lubok Cina, Din Mulip yang kemudiannya membawa arwah ke Klinik Kesihatan Lubok Cina.

"Saya terkejut apabila menerima panggilan daripada Pengerusi Masjid Lubok Cina, Amiral Mukminin Wahid yang meminta saya segera ke klinik berkenaan dan setibanya saya di situ, arwah sudah tiada lagi," katanya.

Pesara tentera itu berkata, arwah yang menghidap penyakit berkaitan injap jantung pernah menjalani pembedahan pada 2002 dan pemergiannya adalah berpunca daripada komplikasi jantung.

Jenazah anak keempat daripada sembilan adik-beradik itu dikebumikan selang beberapa kubur dari pusara adiknya pada jam 6.30 petang semalam, katanya.

Sementara itu, Suhaida berkata, dia mengamanahkan arwah untuk tinggal dan menjaga kediamannya di Taman Harmonium Indah kerana dia sendiri tinggal bersama-sama Abu Zahar dan Patimah untuk menjaga mereka yang sudah uzur.

"Arwah menyayangi arwah Mohd Hairi dan sering menyedekahkan ayat suci al-Quran untuk arwah sama ada ketika mengaji al-Quran di rumah atau menziarahi pusara arwah," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Arshad Abu dilaporkan berkata, tiada unsur jenayah dalam kes kematian arwah dan diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Disiarkan pada: October 10, 2022 @ 2:34pm
d