utama

'Allahuakbar! Sumpah, saya tak tinggal awak yang' [METROTV]

Oleh Omar Ahmad

Kulai : "Allah, Allahuakbar. Yang (sayang), saya tak tinggal awak yang...Allah. Sumpah, saya tak tinggal awak yang, Allah... Itu bini saya bang... Allah Allah Allah."

Itu jeritan seorang lelaki yang terbabit dalam kemalangan ngeri di kilometer 45.7 LebuhrayaUtara Selatan arah Selatan di sini, yang meraung sambil memaklumkan isterinya berada di dalam kenderaan yang terbakar.

Berdasarkan video menyayat hati berdurasi satu minit 37 saat itu yang tular di Facebook, lelaki itu menyatakan dia tidak akan meninggalkan isterinya.

Lelaki terbabit bagaimanapun ditenangkan pengguna jalan raya lain dan dibawa ke kawasan lebih jauh berikutan api yang sangat marak.

Sementara itu, Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Renggam, Mohd Fauzi Md Nor berkata, seorang maut manakala empat lagi selamat dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan, iaitu lori Isuzu, Proton Wira dan Proton Preve.

Katanya, mangsa yang maut adalah wanita yang juga penumpang Proton Wira yang ditemui tersepit dan rentung di dalam kereta terbabit.

"Pihak kami menerima panggilan berhubung kejadian pada 7.47 malam.

"Setibanya Pasukan Keluaran Operasi (PKO) di tempat kejadian didapati sebuah lori jenis Isuzu terbakar 70 peratus, manakala Proton Wira terbakar sebanyak 90 peratus akibat kemalangan.

"Penumpang kereta Proton Wira tersepit dan ditemui rentung manakala pemandunya berjaya menyelamatkan diri.

"Dua lelaki yang menaiki lori Isuzu dan pemandu Proton Preve selamat," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Mohd Fauzi berkata, operasi pemadaman dan penyelamatan masih berjalan.

Disiarkan pada: October 15, 2022 @ 10:58pm
d