utama

Selepas langgar, 'masuk' meminang

Oleh Noor Hidayah Tanzizi

Cyberjaya: "Saya ingatkan selepas kena langgar dia nak minta maaf sahaja, tak sangka pula dia mahu 'masuk' meminang sekali," kata pengasas penjagaan bulu mata, Najwa Abdul Nasir.

Kisah Najwa, 20-an, yang membuat ciapan di Twitter mengikut trend terkini from this to this mengenai detik perkenalannya dengan tunang, Ahmad Fahmy Izzudin Mohd Idrus, 29, mendapat perhatian warganet.

Mereka yang mula berkenalan pada April lalu kini mengikat tali pertunangan pada 19 Oktober lalu dan bakal mendirikan rumah tangga Februari depan.

Menceritakan kisah sebenar, Najwa berkata, dia dan bakal suaminya itu berkenalan secara tidak sengaja selepas Ahmad Fahmy Izzudin yang bermain skuter elektrik di Taman Tasik Cyberjaya, di sini, terlanggar tangannya.

"Ketika itu Ramadan dan kami masing-masing beriadah di taman tasik sementara tunggu waktu berbuka puasa. Tunang bermain skuter elektrik sementara saya berjoging santai di taman itu.

"Secara kebetulan juga ketika itu tunang baharu pertama kali bermain skuter jadi dia agak kekok nak mengawalnya sebelum terlanggar tangan saya yang sedang berjalan di laluan taman itu.

"Saya kemudiannya terjerit kecil cakap 'sakit, apa ni' tetapi tak terjatuh sebelum tunang berhenti mengejut dan berulang kali meminta maaf," katanya yang berasal dari Gunung Jerai, Kedah.

Najwa berkata, biarpun dia baik sahaja dan tidak menyalahkan Ahmad Fahmy tetapi tunangnya itu tetap rasa bersalah dan bimbangkan dirinya sebelum mereka bertukar nombor telefon.

"Tunang cakap dia risau kalau selepas ini baru rasa sakit sebab kadang-kadang rasa sakit itu datang lambat selepas terlanggar. Tunang kemudiannya menghubungi saya sekali lagi mengajak pergi klinik tetapi saya menolak.

"Dia kemudiannya mengajak kami keluar minum keesokannya selepas berbuka puasa dan sejak itu kami mula berkawan," katanya.

Katanya, dia tidak menyangka dalam perkenalan singkat mereka berdua mengambil keputusan ke peringkat lebih serius tetapi yakin dengan aturan Allah SWT.

"Kami ada keserasian dan apabila dia melamar saya membuat solat istikharah. Alhamdulillah, di 'tunjukkan jalan' mendirikan rumah tangga dengannya," katanya yang akan bernikah di Cyberjaya nanti.

Berhubung ciapan di Twitter yang dikongsikan ituNajwa tidak menyangka akan tular kerana dia hanya suka-suka dan mahu berkongsi dengan rakan di media sosialnya sahaja.

"Saya berterima kasih kepada yang menyokong dan mendoakan majlis kami berjalan lancar. Ada juga kecaman yang diterima tetapi saya biarkan saja melainkan ia teruk sangat," katanya.

Disiarkan pada: October 23, 2022 @ 9:05pm
d