utama

Tiga beranak maut kemalangan

Oleh Meor Riduwan Meor Ahmad

Alor Gajah: Suami isteri bersama anak lelaki maut selepas kereta dinaiki mereka terbabit kemalangan dengan lori di Kilometer 216 Lebuhraya Utara Selatan arah utara, hari ini.

Pegawai Operasi, Pegawai Bomba Kanan II, Muhamad Ezanee Hamat berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kemalangan itu pada 11.02 pagi dan 21 anggota dari Balai Bomba Dan Penyelamat (BBP) Alor Gajah, Ayer Keroh dan Tampin dikejarkan ke lokasi.

Menurutnya, sejurus tiba didapati terdapat kemalangan membabitkan Honda Jazz dan lori dipandu seorang lelaki.

"Pasangan suami isteri berusia 28 tahun dan anak lelaki berusia setahun disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh petugas kesihatan, manakala pemandu lori tidak cedera," katanya.

Beliau berkata, operasi tamat pada 1.09 tengah hari dan kemalangan menyebabkan kesesakan sejauh lima kilometer.

"Mayat ketiga-tiga mangsa diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut, "katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Arshad Abu berkata, ketika kejadian pasangan suami isteri masing-masing berusia 28 tahun dan anak dalam perjalanan dari rumah mereka di Johor Bahru menghala ke Kuala Lumpur.

Menurutnya, mangsa, Muhammad Nazirul Syafiq Azmi, Zubaidah Abd Rajak dan Muhammad Rizqi Muhammad Nazirul Syafiq disahkan meninggal dunia di lokasi akibat parah di kepala.

"Hasil siasatan awal di tempat kejadian mendapati lori dipandu lelaki itu sedang menjalankan kerja pembaikan pembahagi jalan tengah dan berhenti di lorong paling kanan bagi meletakkan kon.

"Ketika proses meletakkan kon lori itu dilanggar dari belakang oleh kereta terbabit menyebabkan ketiga-tiga mangsa meninggal dunia akibat kecederaan di kepala, " katanya dalam kenyataan di sini.

Arshad berkata, mayat mangsa dibawa ke Hospital Alor Gajah untuk dibedah siasat manakala pemandu lori ditahan untuk siasatan.

Katanya kedua-dua kenderaan terbabit juga ditahan dan akan dibawa ke Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) untuk pemeriksaan lanjut.

"Keadaan jalan adalah tiga lorong dan berselekoh manakala keadaan cuaca baik dan tidak hujan," katanya.

Disiarkan pada: October 28, 2022 @ 3:10pm
d