utama

Anwar ulangi PH miliki majoriti tubuh kerajaan Persekutuan

Oleh Zanariah Abd Mutalib

Kuala Lumpur: Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim, malam ini sekali lagi menegaskan gabungan itu mempunyai majoriti untuk membentuk kerajaan Persekutuan.

Susulan itu, Anwar yang juga Presiden PKR, yakin beliau akan diberi peluang untuk menjadi Perdana Menteri.

Anwar bagaimanapun enggan menyatakan parti atau mana-mana Ahli Parlimen yang akan bekerjasama dengan PH.

"Sejak semalam sudah cukup (112 kerusi Parlimen). Seperti yang saya kata semalam, ia sudah selesai.

"Bagaimanapun, saya mahu ia dilakukan dengan cara yang betul. Biar mereka (parti atau Ahli Parlimen yang akan bekerjasama) mengeluarkan kenyataan sendiri.

"Apa pun, saya gembira kerana kita sudah menyelesaikannya. Saya fikir dengan sokongan yang diperoleh, saya yakin, insya-Allah, saya akan diberi peluang untuk menerajui negara ini," katanya ketika ditemui pemberita di luar kediamannya di Kajang, malam ini.

Awal pagi tadi, Anwar memaklumkan, PH mempunyai majoriti lebih 111 kerusi Parlimen untuk membentuk kerajaan Persekutuan, selepas gabungan itu mencapai persetujuan dan persefahaman dengan beberapa pihak.

Anwar berkata, parti yang akan memberi sokongan kepada PH dijangka membuat kenyataan dalam masa terdekat, sama ada malam ini atau esok.

Ditanya sama ada Barisan Nasional (BN) akan turut bekerjasama, Anwar sambil berseloroh berkata, "Sabar... anda kena belajar dengan Anwar Ibrahim...sabar, begitu lama sabar."

Mengenai sama ada beliau akan menghadap Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, esok bagi memaklumkan mengenai gabungan untuk membentuk kerajaan, Anwar berkata, PH akan mengikut proses seperti yang dititahkan Yang di-Pertuan Agong, iaitu melalui Yang Dipertua Dewan Rakyat.

Mengulas sama ada PH berpeluang bekerjasama dengan Gabungan Parti Sarawak (GPS), selepas Pengerusi BN Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memaklumkan tidak pernah berbincang dengan GPS untuk bersetuju menubuhkan kerajaan bersama Perikatan Nasional (PN), Anwar berkata, GPS terikat dengan hubungan bersama BN dan PN.

"Kita ada hubungan walaupun tidak mudah kerana GPS itu terikat dengan hubungannya yang lama dengan BN dan PN.

"Bagaimanapun, penubuhan parti, kestabilan negara, menyelamatkan negara daripada unsur negatif dan memulihkan ekonomi, itu tugas bersama," katanya.

Disiarkan pada: November 20, 2022 @ 10:02pm
d