utama

Budak maut kepala dihentak, usus pecah

Oleh Ekhwan Haque Fazlul Haque

Kajang: Kanak-kanak perempuan maut akibat didera bapa tirinya di rumah mereka di sini, kelmarin.

Mangsa berusia 11 tahun mengalami kecederaan di kepala akibat dihentak objek tumpul selain ususnya pecah.

Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan berkata, mangsa dikejarkan ke Hospital Serdang selepas tidak sedarkan diri, 11.33 malam semalam.

Menurutnya, mangsa yang menaiki ambulans disahkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke hospital.

"Hasil pemeriksaan bedah siasat yang dijalankan oleh doktor pakar hari ini mendapati punca kematian mangsa adalah dipercayai daripada kesan hentakan benda tumpul pada bahagian kepala dan perut yang menyebabkan usus pecah.

"Selain itu terdapat juga kesan-kesan cedera lebam di bahagian punggung, buah dada dan lengan tangan mangsa," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Beliau berkata, bertindak atas maklumat, pihak polis dari Cawangan Jenayah Berat (D9) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang menahan bapa tiri mangsa berusia 53 tahun, 2.25 petang tadi.

Katanya, suspek ditahan di perkarangan Hospital Serdang.

"Siasatan lanjut mendapati suspek mengaku ada memukul mangsa sebelum ini termasuk menggunakan baldi di dalam tandas akibat marah dengan mangsa yang sering membuat masalah di rumah ketika ketiadaan isterinya di rumah.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh yang memperuntukkan hukuman mati mandatori dan gantung sampai mati sekiranya disabitkan kesalahan.

"Orang awam yang mempunyai maklumat tentang kejadian ini boleh berhubung dengan polis termasuk menghubungi Pegawai Penyiasat kes Asisten Superintendan Ray Erindra Raj di talian 019-6616640," katanya.

Disiarkan pada: November 23, 2022 @ 8:19pm
d