utama

'Berduet' hingga jenjang pelamin

Oleh Najiy Jefri

SIAPA sangka perkenalan selama tiga tahun membawa perhubungan pasangan selebriti, Najwa Latif dan Akwa Arifin ke jenjang pelamin pada 11 November lalu.

Dalam satu majlis yang cukup indah di sebuah hotel di Batu Pahat, Johor, pasangan merpati dua sejoli ini selamat diijabkabulkan tepat jam 8.30 pagi dengan mas kahwin berupa 2.5 gram emas.

Najwa berkata, keputusan untuk menamatkan zaman bujang dibuat selepas Akwa membuka mulut untuk melangkah ke fasa lebih serius dalam hubungan mereka pada awal tahun ini.

"Perbincangan untuk berkahwin dibuat sejak awal tahun. Ketika itu Akwa bertanya berkenaan perkahwinan, namun saya minta sedikit masa untuk berbincang dengan ahli keluarga.

"Alhamdulillah ibu saya memberikan 'lampu hijau' meneruskan hasrat berkahwin itu dan kami pun menetapkan tarikh 11 Jun lalu sebagai tarikh pertunangan.

"Selepas majlis pertunangan, keluarga kedua-dua pihak meminta kami memilih tarikh pernikahan juga," katanya.

Najwa berkata, pemilihan 11 November itu tidak memberi apa-apa signifikan, sebaliknya tarikh terbabit adalah hari bercuti Akwa yang bekerja sepenuh masa di sebuah syarikat swasta.

"Memandangkan Akwa terikat dengan komitmen kerja sebagai pereka grafik sepenuh masa, jadi dia memberikan dua tarikh yang jatuh pada hari dia bercuti.

"Jadi, selepas perbincangan dibuat, kami memilih 11 November. Alhamdulillah, segala proses menuju hari perkahwinan dipermudahkan dan majlis resepsi belah keluarga saya juga sudah dibuat," katanya.

Akwa penyabar

Ditanya juga mengenai keperibadian Akwa yang berjaya memikat hatinya hingga terpaut kasih, Najwa berkata, sepanjang tiga tahun perkenalan, dia melihat banyak sisi peribadi yang baik terhadap suaminya itu.

"Hubungan kami mula serius apabila memasuki tahun kedua. Jadi, dari situ saya nampak dia seorang yang bertanggungjawab dan memiliki sifat sabar yang tinggi.

"Malah, dia juga mudah untuk bertoleransi dalam segala hal. Saya akui perkahwinan ini bukan satu perkara yang boleh dibuat main-main kerana kita nak hidup lama dengan pasangan yang dipilih itu.

"Jadi, saya nampak Akwa memiliki kriteria yang saya nak iaitu dia boleh menjadi peneman yang baik, selain sudi mendengar segala cerita yang ingin saya luahkan," katanya.

Lagu duet

Selepas bekerjasama menerusi dua lagu duet berjudul Tak Kisah Pun dan Dua, Najwa sentiasa terbuka untuk berkolaborasi dengan suami pada masa mendatang.

"Dua single sebelum ini, saya yang ajak Akwa untuk kolaborasi. Jadi, kali ini saya nak tunggu dia melamar saya pula untuk kerjasama duet yang seterusnya.

"Saya tiada masalah untuk bekerjasama dengan suami sebab sepanjang proses rakaman untuk dua lagu sebelum ini berjalan dengan mudah dan lancar," katanya.

Sengaja mengusik adakah terdapat lagu romantik sempena perkahwinan mereka, Najwa berkata, Akwa ada menghasilkan sebuah lagu berjudul Sudi.

"Baru-baru ini saya ada kongsikan lagu Sudi di Instagram. Lagu itu ditulis Akwa selepas kami bertunang. Alhamdulillah, maklum balas yang kami terima untuk lagu berkenaan juga amat positif," katanya.

Disiarkan pada: November 24, 2022 @ 6:00am
d