utama

PN pertimbang tubuh Kerajaan Perpaduan [METROTV]

Oleh Noor Hidayah Tanzizi

Kuala Lumpur: Perikatan Nasional (PN) bersetuju mempertimbangkan cadangan penubuhan Kerajaan Perpaduan membabitkan perbincangan dengan parti-parti yang sehaluan demi kesejahteraan rakyat dan kestabilan negara.

Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, perkara itu dipersetujui dalam Mesyuarat Khas Majlis Tertinggi PN, hari ini.

"Mesyuarat Khas Majlis Tertinggi PN membincangkan mengenai cadangan pembentukan Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan.

"Selaras dengan itu, mesyuarat bersetuju untuk mempertimbangkan cadangan penubuhan Kerajaan Perpaduan membabitkan perbincangan dengan parti-parti yang sehaluan demi kesejahteraan rakyat dan kestabilan negara," katanya dalam kenyataan, di sini.

Terdahulu, beberapa pemimpin PN berkumpul di kediaman Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin di Bukit Damansara, di sini, dipercayai susulan kemelut pembentukan kerajaan ketika ini.

Bermula 9.25 pagi tadi, beberapa pemimpin parti gabungan itu termasuk Timbalan Presiden Bersatu Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dilihat mula tiba di kediaman Muhyiddin.

Kenderaan membawa Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu yang juga bekas Ahli Parlimen Alor Gajah, Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof dan Ketua Wanita PN Datuk Seri Rina Mohd Harun turut tiba di kediaman itu.

Selain itu, kenderaan membawa Naib Presiden Pas yang juga Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar juga kelihatan.

Disiarkan pada: November 24, 2022 @ 1:31pm
d