utama

Formula Exists menjadi!

Oleh Ridzuan Abdul Rahman

BERDEPAN saingan konsert artis luar terutama Indonesia serta Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) yang berlangsung keesokannya, ramai menyangkakan Konsert Resolusi Exists pada 18 November lalu berdepan masalah untuk menarik kehadiran penonton.

Namun, hakikatnya penampilan Mamat (penyanyi), Ajai (keyboard), Along (gitar), Musa (bass), Ujang (drum) serta dua penyanyi undangan, Pasha dan Eiz tetap berjaya menarik penonton setiap ruang di Zepp Kuala Lumpur.

Malah, sekali lagi kita dapat menyaksikan kegirangan peminat menyanyi bersama ala-ala karaoke seperti Konsert Exists Reunion di Stadium Malawati, Shah Alam pada 2019.

Sememangnya Exists beruntung kerana mempunyai kelompok peminat tersendiri yang menghargai lagu mereka.

Mereka sentiasa menawan hati peminat dengan karya dan persembahan segar yang diperlihatkan ketika beraksi secara langsung.

Justeru, lebih 1,000 peminat setia menjadi saksi kehebatan Konsert Resolusi Exists anjuran ImagineX yang amat mantap dan menghiburkan ini.

Kemunculan Mamat sememangnya ditunggu-tunggu peminat, manakala penampilan Pasha dan Eiz tidak dinafikan turut mewarnai konsert kali ini.

Baik Pasha mahupun Eiz, kedua-duanya berjaya mengawal peminat menerusi nyanyian dan komunikasi yang menghiburkan peminat.

Sementara Ajai, Along, Musa dan Ujang pula sememangnya sudah mahir dengan emosi peminat dan tahu apa yang sepatutnya ditampilkan.

Untuk itu, formula versi 'karaoke' bersama peminat cukup berbaloi untuk menimbulkan keceriaan sepanjang konsert berlangsung.

Jelas terlihat keintiman kumpulan yang kini berusia 31 tahun ini dengan peminat.

Biarpun bermain keyboard, Ajai juga memainkan peranan sebagai jurucakap yang mencelah dialog yang diucapkan Mamat kepada peminat.

Sering kali dia mengusik Mamat sehingga menimbulkan kelucuan dalam kalangan peminat.

Menyedari kehadiran Shah, bekas anggota mereka yang hadir menonton, dia menyebut nama pemain gitar terkenal ini.

"Shah ada bersama kita malam ini. Shah diminta berdiri," katanya. Peminat segera memberikan tepukan gemuruh sebaik Shah bangun.

"Kita harap Shah dapat beraksi dalam Konsert Exists di Singapura tahun depan. Ramai juga yang tanya kenapa Ezad tiada. Sebenarnya rumah Ezad kena banjir. Kita sama-sama doakan supaya Ezad selamat.

"Kita juga harap Ezad turut serta dalam konsert Exists nanti," katanya disambut tepukan gemuruh.

Sebanyak 20 lagu ditampilkan menerusi konsert yang berdurasi lebih dua jam itu.

Antara lagu yang melayari konsert kali ini adalah Anugerah, Sebelum Terlewat, Nota Di Lautan Sepi, Julia, Kapal Terbang Kertas, Janji Padamu, Jesnita, Janji Bidadari, Masih Terserlah Ayumu, Rahsia Pohon Cemara, Untukmu Ibu, Mengintai Dari Tirai Kamar, Percayakan Siti, Alasanmu dan Langkah Seiringan.

Setiap lagu yang dipersembahkan pasti mengundang lontaran vokal daripada peminat yang pastinya membesar dengan lagu Exists.

Untaian lirik yang cukup puitis sudah cukup untuk mengembalikan nostalgia itu.

Konsert yang diselami dengan penataan cahaya serta dilengkapi sistem bunyi yang cukup rasa berjaya membangkitkan 'mood' peminat untuk terus berhibur bersama Exists.

Disiarkan pada: November 25, 2022 @ 6:00am
d