utama

Saling menyokong

Oleh Norhayati Nordin

PEMBABITAN selama 25 tahun penyanyi dan komposer, Lah Ahmad dalam karier nyanyian lebih dulu dilayarinya bersama kumpulan Voices Of Euphonious atau VE pada 1997.

Namun, pada 2007 Lah angkat kaki meninggalkan kumpulan itu untuk mencuba nasib sebagai penyanyi solo.

Pantasnya masa berlalu, sudah 15 tahun Lah 'berdikari sendiri' dalam karier muziknya tanpa VE.

Malah, walaupun sudah membawa haluan masing-masing, tetapi hubungan persahabatan dijalin sesama mereka tetap utuh dan saling menyokong.

Lah, 42, berkata, dia juga tumpang gembira dan bangga dengan pembabitan VE di pentas Gegar Vaganza musim kesembilan (GV9) yang menutup tirai esok.

Katanya, VE sudah berjaya memberikan persembahan yang baik untuk penonton.

"Saya menonton GV9 setiap minggu untuk menyaksikan persembahan VE. Mereka bagus dan sentiasa bersemangat. Malah, paling hebat mereka sanggup mencuba dan berusaha memberi persaingan mantap. Saya rasa mereka amat bekerja keras.

"Alhamdulillah, sokongan daripada peminat VE juga padu, sekali gus menyuntik semangat mereka cekal bersaing. Apatah lagi, barisan peserta bertanding GV9 kali ini, masing-masing mempunyai kelebihan tersendiri," katanya.

Barisan anggota VE yang berentap di GV9 dibarisi Zafri Nazaruddin atau Zaf dan Charma Adizalilullah (Cham) bersama dua anggota baharu lain iaitu Adeep Nahar serta Luqman Hakim.

Lah atau nama sebenarnya Abdullah Ahmad berkata, dia turut memantau prestasi kumpulan VE sepanjang berada di GV9 dan berasakan kebersamaan gandingan ahli baharu dalam kumpulan terbabit sangat serasi dan saling melengkapi.

"Saya dan semua anggota VE sering berkomunikasi memberikan nasihat dan sokongan. Ini kerana saya yakin keupayaan mereka dengan bakat dimiliki, sekali gus sebagai sahabat yang mengenali VE, wajar untuk saya memberikan dorongan positif.

"Lagipun, tidak salah untuk saya sebagai sahabat lama VE bersikap peka dengan perkembangan terkini mereka untuk dikenali semula oleh peminat dalam bidang karier apa sekali pun.

"Bagi saya, mereka (anggota VE sekarang) selesa antara satu sama lain dan ada keserasian. Jadi, keharmonian itu tercetus kerana keakraban dijalin dan apa yang diperoleh VE layak untuk mereka beraksi di final GV9.

"Saya berani memperkatakan begini kerana pernah berjumpa VE ketika mereka giat membuat latihan untuk persembahan di GV9. Pada saya, komitmen kerja ditunjukkan mereka memang serius dan perlu diberi sokongan. Doa saya semoga mereka berjaya," katanya.

Lah berkata, tiada manusia yang sempurna dan alangkah baiknya jika kita saling membantu.

Katanya, dia kurang selesa mengkritik usaha rakan-rakannya dalam VE kerana lebih bagus menyebarkan kasih sayang dan tindakan positif.

Selain VE, turut beraksi di final GV9 ialah Jaclyn Victor, Shila Amzah, Tomok, Bob Yusof dan Hazrul Nizam.

Teruja konsert 25 tahun

Memandangkan kini negara memasuki fasa endemik selepas dua tahun berhadapan penularan Covid-19, Lah bersyukur kerana mendapat peluang mengadakan konsert solo berskala besar pertama pada 28 Januari tahun depan di Stage 1 Theatre, PJPac, Bandar Utama.

"Saya teruja untuk menjayakan 25 Years Lah Ahmad Live In Concert ini yang akan menjadi kenyataan pada hujung Januari nanti. Sejujurnya, saya kini bersedia menghiburkan semua peminat yang sudah membeli tiket.

"Memang tak sangka, akhirnya saya dapat juga merealisasikan impian ada konsert solo sendiri. Ini kerana, saya mahu memberi penghargaan buat peminat yang setia bersama saya sepanjang berada dalam industri hiburan.

"Sokongan peminat sangat bermakna untuk saya kerana sepanjang bergerak solo selama ini, saya sudah menghasilkan tiga album sebelumnya dan yang terbaharu nanti berjudul Jatuh yang memuatkan tujuh lagu baharu," katanya.

Lah yang cukup popular dengan lagu Ayu dan Kau Tercipta, difahamkan bakal mendendangkan 20 lagu pernah dirakamnya pada 25 Years Lah Ahmad Live In Concert berkenaan. Katanya, dia mahu penonton terhibur.

Apa pun, luar biasanya sambutan jualan tiket 25 Years Lah Ahmad Live In Concert adalah ia habis dibeli penonton dalam tempoh kurang 24 jam selepas jualan dibuka pada 2 November lalu.

Lah mengakui ia satu petanda yang baik baginya.

Disiarkan pada: November 26, 2022 @ 6:00am
d