utama

Siapa dua orang nombor 2?

Oleh Yusmizal Dolah Aling dan Muhammad Saufi Hassan

Kuala Lumpur: Selepas Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengangkat sumpah jawatan kelmarin, tumpuan kini terarah kepada siapa yang akan dipilih sebagai timbalannya.

Berdasarkan sidang media pertama Anwar sebagai ketua kerajaan, hanya dua parti yang disebut untuk mengisi jawatan nombor dua negara itu iaitu Barisan Nasional (BN) dan Gabungan Parti Sarawak (GPS).

Sudah tentu, antara yang layak menduduki kerusi berkenaan daripada BN adalah Timbalan Presiden Umno Datuk Seri Mohamad Hasan yang menang di Parlimen Rembau dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15), 19 November lalu.

Rata-rata pemerhati politik berpendapat, Mohamad atau mesra disapa Tok Mat wajar diberi tempat untuk membantu Perdana Menteri di dalam kabinet berdasarkan kedudukannya di dalam parti selain ketokohannya terserlah ketika menjadi Menteri Besar Negeri Sembilan selama 14 tahun.

Malah menjadi tradisi Umno sebelum ini untuk menamakan pemimpin tertinggi di dalam hierarki parti yang bersih dan tidak terpalit dengan sebarang isu.

Ada juga berpandangan, bekas Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang juga Naib Presiden Umno juga boleh dipertimbangkan bagi jawatan itu.

Ia memandangkan ahli Parlimen Bera itu sebelum ini pernah mengetuai gabungan parti yang membentuk kerajaan.

Bagi GPS, tokoh yang dilihat paling sesuai dan layak untuk turut berganding bahu membantu Datuk Seri Anwar adalah Datuk Seri Fadillah Yusof.

Naib Yang Dipertua Kanan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu Sarawak (PBB) itu antara yang disebut-sebut untuk menjadi wakil Borneo di dalam pembentukan Kabinet Anwar.

Bekas Menteri Kerja Raya itu juga dilihat lebih berpengalaman dalam pentadbiran kerajaan sebelum ini dan pernah berkhidmat sebagai Menteri Kanan Kerja Raya pada 2020.

Sementara itu, penganalisis politik, Shahbudin Embun berkata, berdasarkan kedudukan semasa, Umno mungkin menamakan Mohamad biarpun beliau tidak pernah menjawat jawatan di peringkat Persekutuan.

"Melihat senario semasa, Mohamad mungkin pilihan terbaik, ada kapasiti dan layak. Terpulang kepada Perdana Menteri untuk melantik sesiapa pun ke jawatan nombor dua itu.

"Untuk GPS, setakat ini Fadillah yang paling layak sebagai wakil bagi kedua-dua negeri itu. Yang lain juga mungkin akan membarisi pasukan sebagai menteri atau timbalan menteri," katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata, Ismail Sabri besar kemungkinan tidak akan menerima sebarang jawatan susulan pendiriannya untuk tidak bersama PH seperti yang disuarakannya sebelum ini.

Dengan saiz Kabinet yang khabarnya akan dikecilkan, komposisi ahli jemaah menteri kali ini dilihat akan lebih terarah kepada latar belakang ahli Parlimen itu sendiri selain PH dikatakan akan mendominasi pasukan Perdana Menteri di Putrajaya.

Terdahulu, Anwar pada sidang media kelmarin berkata, isu berbangkit berkaitan ahli parlimen yang didakwa di mahkamah dilantik sebagai anggota Kabinet akan dibincangkan bersama parti-parti komponen dalam kerajaan perpaduan.

Anwar menegaskan, pendirian PH dalam hal itu masih sama dengan mengeluarkan mana-mana ahli parlimen terpalit isu rasuah dan salah guna kuasa daripada menyertai Kabinet.

"Tapi, oleh kerana ia babitkan isu kerajaan perpaduan, kita perlu berbincang (dengan parti-parti kerajaan).

"Yang membezakan adalah apabila hukuman dijatuhkan. Apabila ada pendakwaan, jika ikut pendirian PH, sukar untuk kita teruskan," katanya.

Siapapun yang akan dilantik, pastinya kabinet ini akan mencerminkan ketelusan serta kesungguhan Anwar untuk memastikan negara dapat mengukuhkan ekonomi dan kembali disegani di rantau ini.

Disiarkan pada: November 26, 2022 @ 12:00pm
d