utama

JDT lengkapkan musim gemilang, juara Piala Malaysia 2022

Oleh Firdaus Hashim

Kuala Lumpur: Johor Darul Ta'zim (JDT) mengesahkan statusnya selaku pasukan Invincibles sepanjang musim 2022 apabila melengkapkan kejuaraan quadruple apabila menjuarai Piala Malaysia dengan menewaskan Selangor FC 2-1 dalam aksi final yang berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam tadi.

Kejayaan itu adalah keempat buat JDT yang sebelum ini amat gah dengan menjulang Piala Sumbangsih, Piala FA dan Liga Super bagi menamatkan musim ini dengan lakaran gemilang.

Sebaliknya ia kisah pahit buat Selangor yang terus kempunan untuk menambah koleksi kejuaraan buat kali ke-34 selepas kali terakhir memenanginya pada 2015 lalu.

Malah kegagalan itu juga turut memadam impian Red Giants untuk menggenggam tiket ke Piala AFC musim depan yang dihadiahkan buat juara Piala Malaysia itu.

Dalam aksi final itu, Selangor yang dibimbing Tan Cheng Hoe membuat dua pertukaran dalam kesebelasan utama dengan mempertaruhkan Baha Abdelrahman dan Richmond Ankrah bagi menggantikan Nor Hakim Hassan dan Yazan Al Arab yang terpaksa diketepikan susulan menerima kad merah di separuh akhir kedua sebelum ini.

Manakala JDT pula tidak membuat sebarang rombakan apabila mengekalkan skuad utama yang diketuai bintang muda sensasi Arif Aiman Hanapi dan penyerang berbisanya, Bergson da Silva.

Beraksi di depan 79,988 penyokong itu menyaksikan Selangor tampil lebih merbahaya seawal minit kedua apabila Mukahiri Ajmal melepaskan rembatan padu namun ia melambung tinggi.

Tujuh minit kemudian Herlison Caion mensia-siakan peluang keemasan apabila sungkitannya sedikit tersasar biarpun hanya berdepan satu lawan satu dengan Farizal Marlias yang sudah pun tertewas.

Penyokong Merah Kuning terus hampa apabila percubaan Hein Htet Aung di minit ke-16 pula berjaya dihalang pertahanan lawan, sebelum tandukan Caion di minit 31 turut tersasar selepas menyambut baik sepakan percuma Mukahiri.

Begitupun, kesilapan Matthew Davies menarik Caion di dalam kotak penalti menyaksikan pengadil, Muhammad Nazmi Nasaruddin tidak teragak-agak menghadiahkan sepakan penalti.

Caion awang import dari Brazil tidak berdepan masalah menewaskan Farizal di minit, 45 bagi meletakkan pasukannya mendahului.

Bagaimanapun JDT nyata tidak mahu menamatkan aksi babak pertama dengan ketinggalan apabila hanya memerlukan dua minit untuk mengikat aksi menerusi tandukan Bergson selepas memanfaatkan sepakan penjuru Davies.

Aksi rancak terus diperagakan oleh kedua-dua pasukan di babak kedua namun skuad kendalian Hector Bidoglio lebih tajam apabila mendahului Selangor hasil percubaan cantik Fernando Forestieri di minit 60.

Cheng Hoe membuat empat pertukaran di jentera depan apabila memasukkan 'enjin' baharu Hakim Hassan, Aliff Haiqal, Syahir Bashah dan Ahmad Danial Asri bagi memburu gol penyamaan.

Namun strategi itu tidak membuahkan hasil apabila JDT terus menguasai aksi sehingga minit akhir buat menyaksikan trofi Piala Malaysia diarak ke selatan tanah air buat kali ketiga kelab itu.

Disiarkan pada: November 26, 2022 @ 11:19pm
d